Ekspo Kerja dan Pendidikan MBM mendapat sambutan menggalakkan

0

PENGHARGAAN: Lee (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta yang menjayakan Ekspo Kerjaya anjuran MBM di Stadium Tertutup Miri, semalam.

MIRI: Ekspo Kerja dan Pendidikan Belia julung kali anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) di Stadium Tertutup semalam mendapat sambutan menggalakkan.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin yang mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Wong Soon Koh hadir merasmikan ekspo ini.

Aktiviti sehari itu dijayakan oleh 40 peserta terdiri jabatan kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), syarikat industri gas dan minyak, industri pembalakan, perladangan kelapa sawit, hotel dan pusat perubatan.

Pengunjung turut berpeluang terlibat dalam bicara kerjaya dikendalikan oleh golongan profesional iaitu peguam, doktor, akauntan dan jurutera.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai berkata melihat sambutan positif daripada penduduk Miri khasnya golongan belia, MBM merancang menjadikan aktiviti berkenaan sebagai acara tahunan.

“Kita bercadang untuk menganjurkan aktiviti ini pada hari Sabtu kedua Disember iaitu selepas peperiksaan SPM dan STPM,” jelasnya.

Menurut Lawrence, pameran kerjaya itu adalah di bawah Program Pembangunan Komuniti MBM yang melibatkan kerjasama antara sektor swasta, IPT dan badan korporat.

Objektif utamanya ialah untuk membantu meningkatkan pemahaman belia tentang kerjaya, peluang pekerjaan dan memberi peluang kepada pencari kerja untuk menemui bakal-bakal majikan mereka.

Ia juga sebagai landasan bagi syarikat-syarikat memperkenal produk dan perkhidmatan mereka dan mengisi kekosongan jawatan kepada mereka yang berpotensi.