Budak lelaki 5 tahun diselamatkan

0

Anggota polis sedang membuat pemeriksaan ke atas kereta pacuan empat roda yang dijumpai.

Anggota polis Jabatan Narkotik berpangkat koperal ditahan

SANDAKAN: Polis berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki lima tahun dan menemui semula kereta pacuan empat roda yang dilarikan dari Kampung Bagiang, Kunak oleh seorang anggota polis berhampiran Balai Polis Ulu Dusun Batu 30, tengahari selasa.

Suspek yang merupakan seorang anggota polis berumur 33 tahun berpangkat koperal dan bertugas di Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan turut ditahan oleh polis.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata pihaknya telah menerima maklumat dari penduduk kampung berhampiran berhubungan sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu suspek berhenti di tepi Jalan Labuk dalam keadaan mencurigakan.

Anggota polis yang bertugas di Balai Polis Ulu Dusun yang sedang membuat rondaan telah membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan, katanya.

“Apabila pemeriksaan dibuat, pihak polis mendapati seorang kanak-kanak bersama suspek berada dalam kereta pacuan empat roda terbabit.

“Anggota polis yang bertugas telah bertanya kepada kanak-kanak itu sebelum kanak-kanak itu menangis dan memberitahu suspek bukan ayahnya,” katanya.

Rowell berkata pihaknya kemudiannya menahan suspek dan membawa budak lelaki itu serta kereta pacuan empat roda itu ke balai polis yang hanya terletak lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek sedang bercuti bagi mendapatkan rawatan tradisional di Kunak dan terbabit dengan kes melarikan budak berkenaan bersama sebuah kereta pacuan empat roda di Kampung Bagiang, Kunak pada 15 Disember lepas.

Katanya budak lelaki itu telah dilarikan oleh suspek bersama kereta pacuan empat roda dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di Kampung Bagiang Kunak.

“Kejadian itu berlaku semasa kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh abang iparnya singgah sebentar di rumah mereka di kampung berkenaan dalam keadaan enjin hidup serta pintu kereta terbuka, dan mangsa sedang berada di dalam kereta syarikat peladangan tempat abangnya bekerja,” katanya.

Rowell berkata keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan gerakan memburu telah dilakukan.

Pihaknya telah menemui semula barang serta wang tunai dianggarkan lebih kurang RM8,000 yang juga turut dilaporkan dilarikan bersama kereta berkenaan.

Beliau berkata pihaknya kemudian menyerahkan suspek serta kereta pacuan empat roda dan barang-barang yang ditemui kepada polis Kunak untuk siasatan lanjut.

Budak yang ditemui itu kemudiannya diambil oleh ayahnya serta anggota keluarganya untuk dibawa balik ke rumah mereka di Kunak, katanya.