Cermin kenderaan peniaga dipecahkan, wang RM150,000 lesap

0

TAWAU: Seorang peniaga terpaksa menanggung kerugian besar apabila wang tunai berjumlah RM150,000 yang ditinggalkannya seketika di dalam kenderaan pacuan empat rodanya lesap dilarikan orang.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, insiden itu melibatkan seorang peniaga yang dikenali sebagai Wong, 37, pada Isnin lepas kira-kira jam 12 tengah hari di hadapan sebuah kafe di daerah ini.

“Mangsa yang beralamat di Merotai Besar dikatakan meletakkan kenderaannya jenis Toyota Hilux berwarna putih (SA8715Y) di hadapan Kedai Café 99, Jalan Sin Onn untuk bertemu dengan kawannya.

“Namun, mangsa yang kembali ke kenderaannya semula selang beberapa minit kemudian terkejut selepas mendapati cermin hadapan sebelah kiri kereta pacuan empat roda terbabit sudah dipecahkan,” katanya di sini kelmarin.

Awang berkata selepas itu mangsa terus memeriksa kenderaannya dan mencari beg sandang warna hijau berisi wang tunai terbabit selain beberapa dokumen miliknya, sebelum mengesyaki beg terbabit sudah dilarikan orang.

Beliau berkata siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

“Kes-kes sebegini sudah berulangkali dilaporkan dan kita juga selalu mengingatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan barang-barang berharga termasuk wang tunai di dalam kereta tanpa jagaan tetapi masih ada yang cuai,” katanya.

Beliau menegaskan usaha mencegah dan membanteras jenayah bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab pihak polis semata-mata, tetapi orang awam turut memainkan peranan penting supaya menjaga harta benda masing-masing dengan berhati-hati.

Awang berkata tanpa usaha dan kerjasama orang ramai untuk membantu pihak polis di dalam langkah-langkah pencegahan awal, usaha membanteras jenayah tidak akan dapat dicapai dengan jayanya.