Lonjak mutu bola sepak Sarawak

0

SEPAK MULA: Mohamad Abu Bakar melakukan sepak mula sebagai simbolik perasmian kejohanan Piala Isuzu-FAS Bawah 19 Tahun disaksikan David (tiga kanan) dan Haidel (kiri) di Kota Samarahan, kelmarin.

Piala Isuzu-FAS Bawah 19 Tahun penting, landasan pembangunan bola sepak negeri

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyifatkan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Isuzu-FAS Bawah 19 Tahun sangat penting sebagai landasan pembangunan bola sepak negeri ini.

Justeru, FAS berharap kejohanan yang dilancarkan secara rasminya malam kelmarin dapat melonjakkan mutu dan tahap bola sepak di peringkat belia agar terus berdaya saing dengan negeri-negeri lain.

FAS juga berharap para pemain menggunakan kesempatan tersebut mempamerkan bakat masing-masing agar mereka dapat diketengahkan di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Paluan gendang penyokong GB13 serta sorakan lebih 1,000 peminat tempatan memeriahkan pelancaran kejohanan yang disusuli perlawanan melibatkan pasukan tuan rumah, Samarahan dan Limbang.

Timbalan Presiden FAS, Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki yang mewakili presidennya, Datu Sudarsono Osman menyempurnakan majlis pelancaran kejohanan itu.

Mengiringi beliau Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBBS), Haidel Heli serta Pengarah Urusan Rhino Motors Sdn Bhd, David Tay yang mewakili penaja, Isuzu Malaysia.

Tujuh pasukan dari seluruh negeri mengesahkan penyertaan bagi merebut kejuaraan pada temasya julung kali diadakan itu bermula pada Ahad lalu hingga 21 Disember ini.

Sementara itu, tuan rumah Samarahan dikejutkan oleh Limbang dengan kekalahan tipis 2-1 pada perlawanan ketiga yang berlangsung di Stadium UNIMAS, malam kelmarin.

Gol-gol Limbang dijaringkan oleh Presley Leanord Libau pada minit ke-13 dan Mohd Alif Hasan minit ke-77.

Manakala gol tunggal pasukan Samarahan disempurnakan oleh Saifudin Setu menerusi sepakan penalti pada minit ke-38.

Dalam pada itu, Kuching pasukan pertama layak ke peringkat separuh akhir apabila mencatat kemenangan 3-0 mengalahkan Bintulu pada perlawanan kedua semalam.

Pasukan Kuching yang dibimbing bekas pemain Bujang Senang, Ideris Untong menjaringkan gol pertama menerusi Julaihi Azid pada minit ke-24.

Kuching yang menang tipis 1-0 menentang Miri pada perlawanan pertama kelmarin terus menambah duka Bintulu dengan jaringan kedua pada minit ke-50 sekali lagi menerusi Julaihi.

Mohd Afif Jamal melengkapkan hari cemerlang Kuching apabila menambah jaringan pada minit ke-57.

Ideris yang ditemui selepas perlawanan berkata, kemenangan itu amat bermakna kerana melayakkan pasukannya ke separuh akhir.

“Semua pemain kita bermain agak baik hari ini, berbanding perlawanan pertama menentang Miri kelmarin.

“Momentum seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada peringkat separuh akhir,” katanya.

Perlawanan lain menyaksikan Limbang mencerahkan peluang ke separuh akhir apabila mencatat kemenangan kedua mengalahkan Young Crocs/SFDP17 dengan 2-1.

Bagaimanapun, Limbang ketinggalan pada minit pertama menerusi jaringan Tommy Mawat Bada.

Tersentak dengan jaringan itu, Limbang memperkemas jentera dan memperolehi gol penyamaan menerusi Eric Lanjap minit ke-19.

Hairy Asli mengesahkan kemenangan Limbang dengan menjaringkan gol pada minit ke-75.

Penolong jurulatih Limbang, Hanapiah Majini berkata biarpun diletakkan sebagai pasukan ‘underdog’ namun anak-anak buahnya mampu melakukan kejutan.

“Saya terkejut dengan kejayaan ini kerana kita hanya berlatih seminggu sebelum kejohanan,” katanya.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Samarahan mengalahkan Sibu dengan jaringan 2-0.

Gol Samarahan dijaringkan oleh Alexs Walson Sia dan Saifudin Seta.

Hari ini tiga lagi perlawanan berlangsung melibatkan Bintulu menentang Miri, Samarahan lawan Ultra Crocs/SFDP17 dan Limbang lawan Sibu.