Sarawak dominasi saingan Bola Tampar B16

0

BANGGA: Pemain-pemain Sarawak meraikan kemenangan berganda pada Kejohanan Bola Tampar B16.

KUCHING: Sarawak mendominasi Kejohanan Bola Tampar B16 di Taiping, Perak apabila memenangi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Dalam kategori lelaki, selaku penyandang juara – Sarawak mengalahkan Selangor dengan 3-2 untuk mengekalkan kejuaraan.

Pasukan Sarawak bangkit selepas tewas 25-27 untuk menyamakan kedudukan 1-1 dengan Selangor menang set kedua 25-15.

Bagaimanapun, Selangor menang set seterusnya 25-23 untuk mendahalui sebelum Sarawak menyamakan kedudukan 2-2 selepas menang 25-23.

Set penentuan menyaksikan Sarawak mengubah strategi dan berjaya mengalahkan Selangor dengan 17-15.

Terdahulu, pasukan wanita yang juga penyandang juara mudah mengatasi Selangor pada perlawanan akhir.

Set pertama menyaksikan pasukan wanita Sarawak mengenepikan cabaran Se langor dengan kemenangan 25-16, tetapi tewas set kedua 17-25.

Pasukan wanita Sarawak, bagaimanapun menang set ketiga dan keempat 25-10 dan 25-17 sekali gus melakar kemenangan 3-1.

Selain merangkul mahkota juara, Sarawak turut memenangi Pemain Paling Berharga (lelaki dan wanita), Spiker Terbaik (lelaki dan wanita), Jurulatih Terbaik (lelaki dan wanita), Blocker Terbaik (lelaki) dan Libero Terbaik (wanita).

Kejayaan itu menyaksikan tahun 2013 sebagai tahun paling cemerlang bagi Persatuan Bola Tampar Sarawak.

Sarawak juga merangkul juara B14 lelaki dan wanita di Selangor bulan lalu dan memenangi pingat emas serta gangsa pada Kejohanan Terbuka Kebangsaan di Johor awal tahun ini.

Pada Sukan Malaysia (SUKMA) XVII Kuala Lumpur lalu, pasukan wanita Sarawak merangkul pingat emas dan pasukan lelaki (perak).