Sunday, December 15

111 PTI ditahan dalam Ops Cantas Khas di Semporna

0

HAMZA menyampaikan cendera kenangan kepada peserta yang mengikuti program derma darah di Kompleks Karamunsing kelmarin, sambil diperhatikan oleh Rosland (kiri).

KOTA KINABALU: Seramai 111 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam Ops Cantas Khas di beberapa perkampungan air di Semporna pada Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata empat daripada yang ditahan dalam operasi jam 4 pagi itu adalah lelaki berumur 21 hingga 34 tahun, yang ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan membuat bom ikan dalam operasi pukul 4 pagi itu.

“Sementara 107 yang lain dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk disiasat mengikut Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Derma Darah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Karamunsing, dekat sini kelmarin.

Beliau berkata operasi berkenaan akan terus dipergiatkan dengan mengkhususkan beberapa daerah lagi di Pantai Timur negeri ini dalam masa terdekat ini.

Katanya, ia dilaksana sejajar dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang mahukan Ops Cantas Khas diperluaskan di kawasan perairan negeri ini.

“Sebelum ini, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah menjalankan Ops Gasak di Pulau Mabul, Kepalai dan Pom-Pom dan begitu juga kita di perkampungan air di Semporna.

“Jadi, operasi akan diteruskan di kawasan Sandakan, Lahad Datu dan meliputi seluruh pantai timur negeri ini,” katanya.

Hadir sama Panglima Wilayah Laut Dua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar.

Mengenai majlis itu, Hamza berkata program derma darah terbabit dilaksanakan bagi mencapai keseragaman Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama dengan ATM.

“Menerusi program-program kemasyarakatan sebegini, ia menjadi bukti kemampuan Strategi Lautan Biru dalam menyampaikan perkhidmatan kepada awam. Ini Ini termasuklah kegiatan ibadah seperti program derma darah,” katanya.