James penulis pertama diiktiraf Pustaka Negeri

0

BAHAN SEJARAH: James mengiringi Adenan melawat tapak pameran yang menampilkan gambar-gambar, keratan akhbar, nota dan lain-lain yang digunakan dan disimpan James sejak berkecimpung dalam bidang penulisan.

KUCHING: James Alexander Ritchie melakar sejarah sebagai penulis pertama yang menerima pengiktirafan dari Pustaka Negeri di bawah program Sarawak’s Authors Highlight.

Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Sateem berkata, James layak menerima pengiktirafan itu berdasarkan sumbangannya dalam sejarah kontemporari serta penulisan kronologi acara di Sarawak yang hampir meliputi setiap subjek.

“Beliau layak menerima penghargaan pada hari ini kerana menampilkan perwatakan Sarawak menerusi penulisannya,” ujarnya pada majlis pelancaran ‘Celebrating the Writer: Mr James Alexander Ritchie’ di Pustaka Negeri di Petra Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.

Program itu merupakan salah satu usaha Pustaka Negeri Sarawak untuk mengembang dan menggalakkan lagi aktiviti penulisan dan penerbitan di Sarawak.

Penulis atau penerbit dipilih adalah berdasarkan sumbangan mereka dalam hasil penerbitan kepada Pustaka Negeri Sarawak.

Pustaka Negeri Sarawak menghargai sumbangan mereka dalam memperkenalkan aktiviti ini dan pelbagai aktiviti penulis/penerbit bersama orang awam.

Dengan adanya program yang merupakan salah satu kerjasama antara Pustaka Negeri Sarawak dan penulis/penerbit di Sarawak, sejarah baharu dalam dunia penulisan di Sarawak tercipta.

James dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam menyerahkan 14 buah buku di bawah keperluan penyerahan bahan-bahan terbitan.

James berbangsa peranakan meliputi Scottish-Thailand-Cina-Melayu, lahir pada 26 Jun 1963 di Burmah Road di George Town, Pulau Pinang.

Beliau juga telah memenangi 20 anugerah kewartawanan termasuk Anugerah Emas Ang Lai Soon, Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Media AZAM dan sagu hati dalam Anugerah Alam Sekitar Kebangsaan ESSO 1986-1997.

Selain itu, dia juga telah menghasilkan dua filem dokumentari mengenai Penan yang diterbitkan oleh RTM pada tahun 1996 dan diikuti satu filem lagi untuk syarikat swasta pada tahun 2009 bertajuk Penan-Puak Dalam Peralihan.

James yang pernah menerima beberapa anugerah daripada kerajaan termasuk Ahli Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang dan Pingat Peringatan Delima, berkata, rancangan beliau seterusnya adalah untuk menulis buku-buku berdasarkan kebudayaan di Sarawak.

Beliau kini sedang menyiapkan buku mengenai Kelabit, seterusnya merancang untuk menulis mengenai Iban khususnya mengenai rumah panjang.

Manakala ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke tapak pameran, Adenan berkata jawatankuasa Penerbitan buku khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka akan turut dianggotai barisan penulis di Sarawak.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu turut membayangkan ia tidak akan menelan belanja yang besar memandangkan penulisan buku itu berdasarkan sumbangan sukarela daripada penulis.

“Buku itu akan memaparkan sejarah parti serta biografi para pemimpin PBB,” katanya.

Inisiatif untuk menerbitkan parti itu dipersetujui pada Perhimpunan Agung PBB Ke-13 baru-baru in agar sejarah perjuangan parti diketahui masyarakat khasnya generasi muda.