Kemasukan pengunjung diperketat

0

Jabatan Imigresen laksana APSS mulai tahun hadapan

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen akan memperkenalkan Advance Passenger Screening System (APSS) bagi memperketatkan kawalan keluar masuk pengunjung ke negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad, berkata pelaksanaan itu penting bagi memastikan setiap penumpang yang keluar masuk menggunakan laluan udara ke negara ini tidak mempuyai sebarang rekod jenayah.

“Sistem ini akan dibangunkan mengikut sistem sedia ada di Singapura dan bakal dilaksanakan pada tahun hadapan selepas mendapat kelulusan kerajaan.

“Menjelang tahun 2020, kita jangkakan lebih 300 juta penumpang akan keluar masuk ke negara ini menggunakan laluan udara dan ini merupakan satu jumlah yang sangat besar.

“Justeru, kita perlu mempunyai satu sistem yang lebih efektif bagi menyekat individu atau kumpulan terlibat jenayah antarabangsa, pengganas ataupun penyeludup daripada memasuki negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat dua hala Jabatan Imigresen Malaysia dan Immigration & Chekpoints Authority Singapura, di sini, kelmarin.

Alias berkata menerusi pelaksanaan APSS, setiap orang asing yang ingin memasuki negara ini akan melalui tapisan awal bermula pendaftaran masuk di setiap kaunter syarikat penerbangan.

Pihaknya juga sedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan negara-negara lain termasuk Interpol menerusi pelaksanaan APSS khususnya untuk membendung jenayah antarabangsa.

“Mereka yang terlibat dalam aktivti-aktiviti jenayah antarabangsa tidak akan dibenarkan memasuki negara kita.

“Oleh itu, jaringan dan perkongsian maklumat dengan Interpol adalah penting kerana kita tidak mahu mereka yang terlibat dalam sebarang jenayah masuk ke negara ini,” katanya.

Menurut Alias, setakat ini terdapat 18 negara maju dan membangun termasuk Singapura yang sedang melaksanakan sistem terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat sejumlah 148 juta pergerakan keluar masuk dari Malaysia dan Sigapura menerusi dua laluan di Johor.

“Ini adalah satu jumlah yang begitu besar dan oleh itu kita perlu bekerjasama dengan Singapura bagi beberapa perkara termasuk perkongsian maklumat, E-Visa, kehilangan atau kecurian dokumen perjalanan (pasport),” katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan.