Pengorbanan pahlawan negara perlu disanjungi

0

SUMBANGAN: Ling menerima sumbangan daripada Bakri untuk Tabung RHP sambil diperhatikan oleh ahli-ahli PVTMS yang lain.

Usah pertikai usaha Kempen Rayuan Hari Pahlawan yang dilaksana mengikut peraturan sah, kata Ling

SIBU: Kempen Rayuan Hari Pahlawan (RHP) tidak akan memberi apa-apa makna jika ia tidak mendapat sambutan daripada rakyat berbilang kaum di negara ini. Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) Thomas Ling Kui Eng berkata, kempen juga tidak bermakna jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua bekas atau veteran tentera.

“Kita veteran ATM harus turun padang untuk menjayakan kempen RHP untuk menyedarkan rakyat atau masyarakat bagi menghargai pengorbanan pahlawan-pahlawan tanah air.

“Sudah menjadi tanggungjawab dan komitmen PVTMS dalam usaha membantu kerajaan dalam menjayakan kempen tersebut dan mengumpul seberapa banyak dana untuk membantu bekas tentera yang memerlukan,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Ling, PVTMS amat kecewa dengan kenyataan pihak tertentu yang mempertikaikan usaha murni persatuan dalam membantu usaha mendapatkan dana bagi menjayakan kempen RHP.

Katanya, PVTMS seperti persatuan bekas atau veteran tentera yang lain juga mempunyai surat pelantikan daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pusat untuk membuat kutipan.

“Kutipan RHP yang dilaksanakan oleh PVTMS adalah mengikut peraturan-peraturan yang sah dan tidak harus menjadi isu kepada PBTM Negeri Sarawak,” jelas beliau.

Namun, menurut Ling, kenyataan pihak terbabit tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli PVTMS di seluruh negeri untuk terus mengutip derma daripada orang ramai bagi membantu mencapai sasaran kutipan sebanyak RM5 juta di seluruh negara.

Sambil menyifatkan pihak yang terbabit tidak faham dengan keadaan sebenar, beliau memberitahu semua ahli persatuan bekas atau veteran tentera harus turun padang bagi mendapatkan derma ikhlas daripada orang ramai.

“Ini merupakan satu perjuangan kepada kita sebagai ahli-ahli persatuan dan bukannya melantik ejen untuk menjalankan kutipan,” katanya.

Kempen Rayuan Hari Pahlawan dilaksana dan dikendalikan oleh kerajaan serta dianjurkan oleh PBTM dengan kerjasama semua persatuan-persatuan dan kelab veteran tentera di seluruh negara.

Ling juga memberitahu, beliau amat bangga dan gembira kerana ahli PVTMS berusaha turun padang untuk menjayakan kempen tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ling berkata PVTMS sehingga kini telah menerima dana sebanyak RM18,000 hasil sumbangan daripada ahli-ahli persatuan itu sendiri untuk Kempen RHP.

Menurutnya, beliau amat berbangga dan gembira kerana ahli-ahli PVTMS berusaha turun padang dan membantu menjayakan kempen tersebut.

“Ini merupakan satu sejarah kepada PVTMS dan kepada saya selaku Presiden PVTMS,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima cek sumbangan daripada seorang ahli PVTMS untuk Tabung RHP, semalam.

Sumbangan sebanyak RM1,111.11 itu adalah daripada Pengurus Farah Enterprise, Mohd Bakri Yusoff, yang juga merupakan Pegawai Kebajikan PVTMS serta Bendahari PBTM Cawangan Sibu.

Ling juga berharap sumbangan itu akan menjadi satu contoh kepada yang baik serta permulaan bagi perjuangan PVTMS.

“Saya berharap lebih ramai lagi usahawan-usahawan veteran tentera yang telah berjaya dalam bidang perniagaan tampil ke hadapan bagi menyokong dan menyumbang kepada Tabung RHP,” jelas beliau.

Sementara menurut Bakri, tujuan beliau menghulurkan sumbangan itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya kerana sikap dan perasaan tanggungjawab terhadap persatuan dan masyarakat, khususnya kepada veteran tentera.

“Oleh itu,saya berasa terpanggil untuk menyumbang kerana sumbangan ini juga untuk masa depan anak cucu kita,” katanya sambil memberitahu kemungkinan suatu hari beliau juga memerlukan bantuan tersebut.

Beliau turut merayu kepada veteran tentera terutama yang telah berjaya menjadi usahawan untuk tampil menderma kepada tabung RHP tanpa mengira jumlah sumbangan yang dihulurkan.

Bakri juga memberitahu, ahli-ahli dan persatuan harus bekerjasama dalam menjayakan tabung RHP yang juga merupakan satu tuntutan kepada ahli-ahli.