Friday, March 22

30,988 calon PMR catat A dalam semua pelajaran

0

PUTRAJAYA: Sebanyak 30,988 atau 7.33 peratus daripada lebih 462,940 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata keputusan itu lebih baik berbanding 30,474 orang pada 2012 iaitu meningkat 0.41 peratus atau 514 calon.

Beliau berkata prestasi bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

“Bagaimanapun, GPMP bagi mata pelajaran Bahasa Melayu menunjukkan sedikit penurunan 0.03 mata kepada 2.35 mata pada 2013 berbanding 2.32 tahun lepas,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan keputusan PMR 2013 di sini semalam.

Khair berkata penurunan prestasi subjek Bahasa Melayu adalah kecil dan menunjukkan perubahan yang tidak signifikan.

Menurut Khair, jumlah calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 307 calon (0.07 peratus) tahun ini daripada 241 calon (0.05 peratus) tahun 2012.

Keputusan itu turut menunjukkan pencapaian calon bandar dan luar bandar hampir setara dengan gred purata masing-masing 2.56 dan 2.81.

Bagi calon berkeperluan khas pula, ia mencatatkan penurunan sebanyak tiga calon apabila sebanyak 11 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran daripada 2,300 pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan berbanding 14 calon mencatatkan gred A pada 2012, katanya.

“Bilangan calon berkeperluan khas yang tidak melepasi tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran meningkat daripada 22 calon (1.27 peratus) pada 2012 kepada 49 calon (2.13 peratus) bagi tahun 2013, jumlah peningkatan sebanyak 27 calon (0.86 peratus).

Dalam pada itu, Khair berkata mulai tahun depan (2014), peperiksaan PMR bukan dalam bentuk peperiksaan tetapi dalam bentuk penaksiran membabitkan pentaksiran physcometric, sukan, kokurikulum dan beberapa perkara lain.

Kaedah pentaksiran itu merupakan tindakan penambahbaikan dalam sistem pelajaran negara oleh kementerian, katanya.

Di KUALA LUMPUR, 1,683 daripada 19,440 calon mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil, kata Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus.

Katanya GPMP bagi 10 daripada 14 subjek yang ditawarkan di WPKL juga mengatasai gred purata di peringkat nasional.

Empat sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki dan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dua calon berkeperluan khas turut mendapat keputusan cemerlang Gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki iaitu daripada kategori buta dan seorang dari kategori rabun.

Di ALOR SETAR, jumlah calon yang mendapat A bagi semua mata pelajaran di Kedah meningkat kepada 6.8 peratus, peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding pencapaian tahun 2012 iaitu 5.94 peratus.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata peratus calon yang mendapat pencapaian Cemerlang (semua Gred A) bagi semua mata pelajaran diduduki meningkat sebanyak 0.14 peratus, iaitu daripada 2,083 calon (5.94 peratus) pada tahun 2012 kepada 2,264 (6.80 peratus) pada tahun ini.

“Pencapaian keseluruhannya meningkat sebanyak 2.52 peratus daripada 64.29 peratus tahun lalu kepada 66.78 peratus tahun ini. Gred purata meningkat sebanyak 0.08 mata iaitu daripada 2.81 pada tahun 2012 kepada 2.73 mata pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan PMR Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah.

Beliau berkata terdapat 13 sekolah mendapat pencapaian kelulusan 100 peratus pada PMR tahun ini.

Di MELAKA, sebanyak 1,011 daripada 13,661 calon mendapat A bagi semua mata pelajaran di negeri ini, meningkat sebanyak 0.56 peratus berbanding 982 calon tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata Gred Purata Negeri (GPN) adalah yang terbaik dalam tempoh 10 tahun.

Enam buah sekolah iaitu SM Sains Muzaffar Shah, SMK Tinggi Perempuan Melaka, SMK Ghafar baba, SMKA Sharifah Rodziah, SMK Dang Anum dan SMA (JAIM) Assaiyidah Khadijah berjaya mencapai 100 peratus calon menguasai (sekurang-kurangnya D semua mata pelajaran) berbanding hanya tiga buah sekolah pada tahun lepas.

Di TERENGGANU, keputusan PMR 2013 mencatatkan rekod terbaik dalam tempoh sembilan tahun setelah 1,733 atau 8.19 peratus daripada 21,159 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin berkata jumlah itu meningkat sebanyak 175 orang atau 1.04 peratus berbanding tahun lalu  sebanyak 1,558 (7.15 peratus).

Sebanyak 28 buah daripada 138 sekolah di negeri ini berjaya mencatat gred purata sekolah (GPS) cemerlang iaitu 1.00 hingga 1.80 atau prestasi A.

Empat orang daripada 158 calon berkeperluan khas juga memperoleh keputusan terbaik dengan seorang calon memperoleh 9A, dua calon memperoleh 8A 1B dan seorang calon lagi memperoleh 7A 1D.

Di PERAK, jumlah calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 3,200 pelajar berbanding 3,176 calon pada tahun lepas.

Pengarah Pendidikan Perak Muhamat Roli Hassan berkata sebanyak 38,872 calon mengambil PMR di 315 buah pusat peperiksaan di negeri itu.

Beliau berkata pelajar bandar yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 2,205 manakala pelajar luar bandar sebanyak 905 orang.

Di JOHOR, sebanyak 3,948 calon PMR di negeri ini berjaya memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 3,916 calon pada tahun lepas.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A.Ghani berkata daripada jumlah itu 432 calon memperolehi 9A, 3,146 calon (8A), 355 calon (7A), 14 calon (6A) manakala seorang calon memperoleh 5A.

Mohd Nor berkata secara keseluruhannya, pencapaian calon dalam 15 mata pelajaran akademik bertambah baik tahun ini dengan peningkatan sebanyak 0.04 mata GPN iaitu daripada 2.69 mata pada tahun lepas kepada 2.65 mata, tahun ini.

Di PULAU PINANG, sebanyak 2,268 daripada 23,164 calom PMR berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan itu, kata Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 232 pelajar memperoleh keputusan 9A dan 1,633 mendapat 8A manakala selebihnya 7A.

Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin dipilih sekolah terbaik diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul dan SMK Agama Al-Irshad.

Katanya Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin Bukit Mertajam merupakan sekolah paling ramai pelajarnya memperoleh keputusan 8A iaitu 270 orang.

Di SEREMBAN, Negeri Sembilan menduduki tempat kelima terbaik di seluruh negara dalam PMR 2013 berdasarkan GPN 2.59, berbanding 2.65 pada tahun 2012.

Sebanyak 1,653 orang calon atau 9.5 peratus daripada semua calon sekolah kerajaan berjaya mencapai keputusan penuh 9A, 8A atau 7A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil.

Sepuluh sekolah yang mencatatkan keputusan PMR terbaik ialah Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Sekolah Menengah Sains Rembau, Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja’afar dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu.

Yang lain, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abu Hassan, Sekolah Menengah Kebangsaan King George Kelima, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said dan Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri.

Di SABAH, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Maimunah Suhaibul berkata sebanyak 23,622 calon atau 63.86 peratus mencatat sekurang-kurangnya pencapaian gred D termasuk gred A dalam semua mata pelajaran.

Bagaimanapun calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran diambil mencatatkan penurunan kepada 916 orang tahun ini berbanding 922 pada 2012.

“GPN pada tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu 2.95 berbanding 3.01 pada tahun lalu iaitu pencapaian terbaik berbanding lima tahun sebelum ini,” katanya.

Sepuluh buah sekolah cemerlang adalah SM Sains Lahad Datu, SM Sains Sabah, SMKA Kota Kinabalu, SM Islamiah, Tawau; SMKA Tun Ahmad Shah, SMKA Mohd Ali, Ranau; SMKA Sandakan, SM St.Micheal, Penampang; SMKA Tun Mustapha dan SM St. All Saints.

Di PERLIS, jumlah calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 307 berbanding 244 calon tahun lepas.

Sebelas calon mencatat keputusan 7A, 236 calon (8A) dan 60 calon (9A) di samping 18 buah sekolah menghasilkan sekurang-kurangnya seorang calon cemerlangmendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian calon sekolah bandar lebih baik dengan jumlah calon mendapat semua A sebanyak 240 orang berbanding hanya 67 calon luar bandar.

Di KELANTAN, keputusan PMR 2013 adalah yang terbaik dalam tempoh enam tahun, kata Pengarah Pendidikan negeri Hussain Awang.

Sebanyak 1,655 atau 6.78 peratus daripada 34,000 calon mendapat semua A dalam matapelajaran yang diambil, sekaligus menunjukkan peningkatan daripadasegi peratus kecemerlangan sebanyak 0.99 peratus.

“Peratus kelulusan keseluruhan calon termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan adalah 18,449 calon atau 67.98 peratus berbanding 18,807 calon atau 65.80 peratus pada 2012, menunjukkan peningkatan sebanyak 2.18 peratus,” katanya. — Bernama