Pesanan arwah bapa dorong Hani Faqihah catat 8A

0

ALOR SETAR: Pesanan terakhir arwah bapanya empat tahun lalu, mendorong Hani Faqihah Mohd Nor untuk mencatat kejayaan cemerlang dalamPenilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumum semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah (SMKSB) itu yang memperoleh 8A, berkata arwah bapanya Mohd Nor Mat Daud yang meninggal dunia akibat sakit jantung, berpesan agar dia menjadi insan berjaya dan cemerlang dalam pelajaran.

“Saya juga berazam untuk membalas jasa ibu Norhafiza Long, 43, yang bersusah payah menjaga saya selepas kematian bapa empat tahun lalu,” kata anak tunggal itu kepada pemberita selepas Pengumuman Keputusan PMR 2013 di SMKSB semalam.

Dia yang bercita-cita menjadi guru, berkata ibunya yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kota Setar memastikannya tidakterpinggir dalam segala aspek terutamanya pendidikan.

Bagi anak pesawah, A’liah Bakar pula keputusan 9A yang diperolehnya adalah hasil ulang kaji pelajaran secara berkumpulan.

Selain itu restu ibu dan ayah juga amat penting dalam kejayaan saya hari ini, katanya.

Pada majlis tersebut Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hadir menyampaikan keputusan kepada 73 pelajar cemerlang sekolah itu.

Sementara itu di KULIM, kesempitan hidup sebagai ibu tunggal digunakan Badariah Abdul Aziz, 42, sebagai motivasi kepada anak tunggalnya untuk berjaya dalam pelajaran.

Anaknya Nurul Fazira Ilyannie Ramli mencatat keputusan 8A dan muncul antara pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah.

“Kerana hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia menyebabkan saya sering berpindah-randah mencari rezeki untuk menyara hidup dan anak tunggal saya ini setelah berpisah dengan suami 10 tahun lepas,” katanya ketika ditemui selepas mengambil slip keputusan peperiksaan PMR anaknya.

Menurut operator pengeluaran itu, dia tidak mahu jerih payah yang dilaluinya diwarisi anaknya kelak.

Sementara itu, Nurul Fariza Illyanie berkata sikap ibunya yang sering menziarahinya di asrama dan tidak jemu memberi galakan banyak membantu kejayaannya.

Sekolah itu muncul sekolah harian terbaik di Kedah, manakala dari segi keseluruhan pula di tempat ketiga.

Pengetua sekolah Oomi Kalsom Ibrahim berkata sebanyak 201 daripada 294 calon memperoleh keputusan ‘A’ bagi semua mata pelajaran.

Sekolah ini antara 13 sekolah di Kedah yang mencatat keputusan 100 peratus, katanya. — Bernama