Pusat Jantung HUS perlu bantuan kewangan korporat, NGO

0

KUCHING: Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) Kota Samarahan menyeru sektor korporat dan  badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar menghulurkan bantuan kewangan untuk meneruskan operasinya.

Timbalan Pengarah HUS Dr Mohd Asri Riffin berkata, pusat berkenaan memerlukan kira-kira RM20 juta setahun untuk menampung kos perbelanjaan dan membayar gaji kakitangannya.

“Pihak hospital berterima kasih dengan sumbangan berterusan yang diberikan oleh Persatuan Isteri-isteri Menteri dan Menteri Muda Sarawak (SABATI) sejak dahulu lagi.

“Kami percaya ia mampu memberi keselesaan kepada pesakit, ahli keluarga pesakit dan kakitangan hospital sekiranya terdapat penaiktarafan kemudahan melalui sumbangan daripada pihak luar,” ujarnya ketika berucap pada majlis meraikan Kunjungan Ahli-ahli SABATI ke pusat tersebut, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kardiotorasik Dr Ong Tiong Kiam berkata, pihak hospital memerlukan tambahan seorang pakar jantung pediatrik.

Menurut beliau, kekangan tenaga kerja pakar di hospital berkenaan menyebabkan lima hingga enam bayi yang mengalami masalah jantung terpaksa dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) atau hospital swasta yang lain.

“Namun ada yang dapat diselamatkan, tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk membayar kos pembedahan terpaksa menunggu lama untuk dibedah dan kadang-kala menyebabkan bayi terkorban,” jelasnya.

Tegas Ong, tidak ada pihak yang harus dipersalahkan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia kerana pihaknya sudah menjalankan pelbagai usaha dalam menangani masalah terbabit.

Cadangan beliau adalah untuk menambah seorang lagi pakar jantung pediatrik atau menambah kemudahan  berteknologi tinggi bagi menggantikan tenaga pakar dalam mengurangkan jumlah kes kehilangan nyawa.

Setakat ini, katanya, pihaknya mempunyai seramai 500 kakitangan, manakala 25 peratus lagi kekosongan jawatan sebagai jururawat belum diisi di pusat berkenaan.

Pada kunjungan itu, Setiausaha Agung SABATI Datuk Dayang Morliah Awang Daud menyampaikan tambahan bantuan sebanyak RM7,500 selain mengagihkan hamper dan cenderamata bernilai RM4,000 kepada pesakit yang menyambut Hari Krismas di pusat itu.

Turut menemani Morliah ialah Pengerusi Kebajikan Ahli SABATI, Datuk Dr Jamilah Anu.