Musim tengkujuh timbul kegundahan peniaga-peniaga Limbang

0

LIMBANG: Musim tengkujuh yang melanda Limbang sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak menimbulkan kegundahan dalam kalangan peniaga TEKUN Uptown sejak Khamis hingga semalam.

Rata-rata peniaga menyifatkan hujan lebat yang turun tanpa mengira masa memberi kesan secara langsung terhadap kehadiran pengunjung dan pembeli berbanding bulan-bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, ada peniaga memberi reaksi berbeza dan menganggap ia tidak menjejaskan pendapatan mereka kerana pelanggan setia tidak jemu untuk berkunjung sekali gus membeli barangan dan produk mereka.

Bagi Kasmah Ibrahim, 35, musim hujan sekarang memberi kesan mendalam terhadap perniagaannya apabila bilangan pembeli agak berkurangan berbanding sebelum ini.

“Memang sedikit terasa apabila pelanggan yang datang agak berkurangan kerana enggan turun berikutan hujan turun pada waktu pagi dan malam.

“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan kami sebagai peniaga di TEKUN Uptown,” katanya ketika ditemui semalam.

Kasmah yang menjual beg tangan sejak Februari lalu menambah, kehadiran pelanggan yang tidak menentu menyebabkan pendapatan turut terjejas.

“Sebelum ini, saya boleh memperolehi keuntungan sekitar RM200 ke atas tetapi hujung tahun ini ditambah dengan musim tengkujuh pendapatan diperolehi sedikit merudum,” katanya.

Kasmah turut berharap penganjur ekspo akan datang bermula tahun depan dapat menganjurkan ekspo setiap bulan berbanding TEKUN Uptown yang diadakan dua bulan sekali.

Seorang lagi peniaga TEKUN Uptown dari Sabah, Abidin Ismail, 46, mengakui musim tengkujuh sekarang menyebabkan hasil jualan sedikit berkurangan kerana pelanggan yang datang tidak ramai seperti hari biasa.

“Hasil jualan memang sedikit berkurangan, kerana pelanggan tidak ramai yang datang.

“Meskipun demikian musim cuti sekolah dan perayaan Krismas menyebabkan pelanggan ramai membeli-belah di Ekspo TEKUN,” katanya.

Abidin yang menjual baju jubah dan pakaian wanita mahu pengisian ekspo diperbanyakkan agar mampu menarik kehadiran pengunjung.

“Kami berharap pada penganjuran ekspo akan datang, pengisian program perlu diperbanyakkan untuk menarik kehadiran pengunjung kerana peniaga bergantung kepada pembeli yang datang,” ujarnya yang sentiasa berniaga di Limbang sekiranya ada jemputan.

Bagi penjual nasi katok yang popular di sini, Dayang Rosita Bakar, 40, musim tengkujuh yang melanda sekarang tidak menjejaskan pendapatannya berikutan pelanggan tetap setia menanti keenakan nasi katok di gerainya.

“Saya bersyukur pelanggan setia tetap datang ke gerai nasi katok setiap kali TEKUN Uptown diadakan tidak kira walaupun hujan lebat atau hari biasa,” katanya.

Beliau menjelaskan, kebanyakan pelanggan datang merupakan pelanggan berketurunan Cina yang setia sejak dia dan suaminya memulakan perniagaan nasi katok pada 2006.

Resipi nasi katok ciptaan suaminya yang menggabungkan cita rasa pedas, manis dan sambal tahai menyebabkan pelanggannya semakin bertambah setiap tahun.

“Sehari keuntungan hasil jualan nasi katok boleh mencecah sekitar RM2,000 dan saya bersama tiga pekerja menghabiskan sekitar 660 bungkus nasi katok setiap hari,” ujarnya.

Katanya setiap pelanggan boleh memilih sambal tahai, pedas atau sambal manis dengan harga RM4 sebungkus.