Rumah panjang Dayak tarikan utama pengunjung ke muzium

0

KUCHING: Pameran rumah panjang etnik Dayak di Muzium Sarawak ternyata menjadi tarikan utama pengunjung yang berkunjung ke situ.

Tinjauan Utusan Borneo di Muzium Sarawak mendapati rata-rata pengunjung berminat untuk mengetahui lebih lanjut akan asal-usul pembinaan rumah panjang yang dikaitkan dengan etnik Dayak yang menjadi etnik majoriti di negeri ini.

Pameran yang mendedahkan struktur rumah panjang masyarakat Iban sejak turun temurun itu turut memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai suasana kediaman seperti berada di rumah sendiri.

Ia merangkumi beberapa sudut utama di ruang rumah panjang termasuk ruang bilik tidur, ruang tamu dan tempat memasak.

Selain itu, pameran rumah panjang itu juga diperkemaskan dengan susunan perabot serta peralatan kediaman seperti tilam, periuk, tempat unggun api serta rak menyimpan peralatan memasak.

Menurut seorang pengunjung yang dikenali sebagai Azniza Azyanny Zakaria, 30, dari Kedah, percutiannya bersama keluarga ke bandar raya ini sempena musim cuti sekolah akan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya tidak bercadang untuk menghabiskan masa untuk mengunjungi pusat beli-belah di bandar raya ini kerana saya boleh melawatnya ketika pulang ke Kuala Lumpur kelak.

“Saya bercadang akan memanfaatkan cuti bersama suami dan anak-anak ke tempat bersejarah di mana kami dapat mengetahui pelbagai maklumat mengenai etnik yang ada di Sarawak.

“Pada pendapat saya, pameran rumah panjang yang dipamerkan di ruang atas muzium ini sangat membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai masyarakat Iban yang tinggal di rumah panjang,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, pentadbiran muzium juga membantu pengunjung dengan menyiarkan video mengenai kehidupan masyarakat Dayak yang boleh ditonton di ruang televisyen yang disediakan.

Manakala pengunjung lain iaitu Isom Jalai, 48 berkata, cuti sekolah merupakan waktu yang sesuai untuk membawa ahli keluarga melawat tempat-tempat menarik di bandar raya ini.

“Cuti sekolah akan tamat pada minggu depan, justeru, saya ingin mengambil peluang ini membawa anak-anak melawat muzium yang menjadi bangunan berinformasi kepada pengunjung.

“Pameran di Muzium Sarawak sangat menarik namun yang menarik perhatian saya dan anak-anak ialah ruangan rumah panjang di sini kerana walaupun saya seorang Iban, saya juga ingin mengetahui asal-usul rumah panjang yang asli sejak dari zaman nenek moyang saya lagi dan pameran ini sangat membantu saya mengetahui serba sedikit mengenai kebudayaan negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Isom menambah, pameran itu seharusnya dipromosi dengan lebih meriah lagi untuk menarik lebih banyak pengunjung datang ke situ.