Sediakan pusat aktiviti untuk warga emas

0

MIRI: Projek-projek perumahan baharu wajar menyediakan pusat aktiviti untuk warga emas sama seperti keperluan untuk menyediakan kemudahan taska dan tadika.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata prasarana seperti penubuhan pusat aktiviti warga emas perlu diperluas dalam komuniti.

“Pusat ini menyediakan kemudahan kepada warga emas termasuk yang tinggal bersendirian dan kesunyian, menjalankan aktiviti sosial dan riadah bersama masyarakat lain atau rakan sebaya,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Warga Emas sempena Krismas dan Tahun Baharu 2014, di sini malam kelmarin.

Fatimah berkata, kerajaan menyediakan sejumlah geran kepada Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan Pusat Aktiviti Warga Emas Miri (PAWE) untuk aktiviti mereka.

“Bagi PPWE, kerajaan negeri memberi sejumlah RM15,000 pada 2013 untuk tujuan menjalankan program dan aktiviti yang dapat memberi keceriaan kepada warga emas,” jelasnya.

Malah, kerajaan persekutuan memberi geran pentadbiran sebanyak RM33,330 dan geran pembaikan sebanyak RM50,000 (untuk pembaikan akibat kerosakan dalam kejadian ribut pada Oktober 2012) kepada PAWE.

“Kewujudan PPWE dan PAWE memberi banyak keceriaan kepada warga emas di Miri kerana pelbagai aktiviti dijalankan untuk penghuni di pusat tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut menyumbang bantuan orang tua kepada golongan yang benar-benar memerlukan di Miri.

“Bantuan itu memberi manfaat kepada sejumlah 1,503 orang (RM4,959,300) dalam tempoh Januari hingga Disember 2013 daripada jumlah keseluruhan penerima bantuan kebajikan bulanan daripada pelbagai skim bantuan berjumlah 4,322 orang (RM12,873,810) bagi tempoh sama,” katanya.

Mengulas mengenai PPWE dan PAWE, Fatimah berkata sejumlah 12,819 orang warga emas berdaftar dengan kedua-dua pusat itu setakat November tahun ini.

“Paling membanggakan, PAWE Miri pernah menerima Anugerah PAWE terbaik di seluruh Malaysia pada 2011 dan ada kalangan penghuni menerima Anugerah Cemerlang.

“Sebagai contoh, Pengerusi PAWE Miri Pemanca Wilson Siang Lim menerima Anugerah Warga Emas pada Hari OKU dan Warga Emas Peringkat Sarawak pada 15 Disember lalu,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Perhubungan dan menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.