Jalan becak perlu dibaiki

0

PERLU DIBAIKI: Keadaan permukaan jalan berkenaan yang becak menyukarkan penduduk di sekitar Sungai Ngemah melaluinya termasuk kenderaan pacuan empat roda.

Beberapa bahagian Jalan Nanga Ngungun/Nanga Bat becak, menyukarkan penduduk melaluinya

KANOWIT: Penduduk di Nanga Bat di Sungai Ngemah di sini berharap pihak  berkuasa berkaitan akan memperuntukkan sejumlah dana pada masa akan datang untuk membaiki Jalan Nanga Ngungun/Nanga Bat di sini.

Jamit Bajai, 50-an, berkata beberapa bahagian sepanjang lapan kilometer jalan berkenaan becak.

Ia diburukkan lagi dengan cuaca hujan sejak kebelakangan ini sehingga menjadikan jalan berkenaan sukar untuk dilalui.

“Keadaan itu berlarutan sejak sebulan yang lalu sehingga jalan tersebut tidak dilalui kenderaan pacuan empat roda.

“Orang ramai yang pulang bercuti sempena cuti sekolah juga terpaksa berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk sampai ke Jeti Nanga Bitan.

“Perjalanan tersebut disambung dengan menggunakan bot sebelum sampai ke rumah masing-masing di sekitar hulu Sungai Ngemah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jalan tersebut telah dibina lebih daripada 10 tahun yang lalu di mana pada awalnya ia digunakan bagi tujuan pembalakan.

Ia menghubungkan beberapa rumah panjang sepanjang Sungai Ngemah iaitu dari Nanga Bat ke Nanga Ngungun dan Nanga Ngemah.

Jalan tersebut telah banyak membantu kehidupan harian penduduk di Sungai Ngemah yang bergantung kepada pengangkutan air.

Bercakap lanjut, Jamit turut menggesa kerajaan menaik taraf jalan raya berkenaan.

Beliau berkata Jalan Nanga Ngemah/Nanga Ngungun telah diturap pada awal 2011.

“Dari Nanga Ngungun ke Jalan Nanga Bat hanya lapan kilometer. Mengapa kerajaan tidak menurap habis jalan berkenaan untuk kemudahan rakyat,” soal beliau.