Lebih 300 pasang seluar jeans dikumpul untuk golongan memerlukan

0

UNTUK KEBAJIKAN: Corriena (dua kiri), Karambir (dua kanan) dan yang lain ketika majlis ringkas penyerahan jeans kepada pihak PBSM.

MIRI: Lebih 300 pasang seluar jeans berjaya dikumpulkan oleh pihak Bintang Megamall dalam masa sebulan bagi Kempen ‘Jeans Untuk Yang Memerlukan’.

Eksektif Pemasaran Bintang merangkap pengerusi penganjur kempen berkenaan Corriena Sarkawi berkata, sambutan daripada orang ramai adalah menggalakkan.

“Ini bermakna orang awam di sekeliling kita masih mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Bintang Megamall di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih menerima sumbangan seluar jeans untuk diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri.

“Kempen ini bermula pada 23 November lepas dan setakat ini kami masih menerima sumbangan daripada orang ramai,” jelasnya.

Kempen yang ditaja oleh Levi’s Bintang Megamall itu katanya dilakukan sempena sambutan Krismas.

Sementara itu, Pegawai Publisiti PBSM Miri Karambir Singh memberitahu, pihaknya sangat bersyukur atas respons menggalakkan daripada orang ramai itu.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kempen ini,” ujarnya.

Seluar jeans yang dikumpulkan itu kata Karambir, amat bermakna untuk pihak memerlukannya terutama bagi mereka yang dilanda bencana atau kecelakaan dan ketika memerlukan bantuan.