Tangani isu jejas perpaduan kaum secara kreatif, bukan destruktif

0

KUCHING: Penganut Kristian diingatkan supaya memastikan isu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum ditangani secara kreatif dan bukan secara destruktif atau membawa kepada kehancuran.

Pengerusi Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) Bishop Datuk Bolly Lapok berkata, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, ketegangan telah berlaku dan akan terus berlaku.

“Namun cabaran kita ialah setiap kali sesuatu isu itu timbul untuk memecah belahkan rakyat Malaysia, penganut Kristian harus memastikan ia ditangani secara kreatif bukan secara destruktif atau membawa kepada kehancuran.

“Semua rakyat Malaysia yang berniat baik mesti dengan tegas membendung polarisasi kaum serta fahaman agama yang ekstrem,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas melalui kenyataan akhbar di sini, semalam.

Jelas Bolly, perkara yang menarik hati tentang perayaan Krismas ada kaitan dengan harapan iaitu harapan Krismas sekarang dan masa depan.

Bagaimananapun katanya, mungkin kita berasa selamat dan selesa ketika meraikan Krismas dan tidak ramai daripadanya kalis daripada perasaan bahawa kita telah menjadi mangsa kepada keputusan pihak lain yang tidak adil.

Selain terdedah kepada ketidaktentuan dan kebimbangan, ditolak ke dalam keadaan atau hubungan yang tidak prihatin atau tertindas dan dipijak, tambahnya.

Bolly menegaskan bahawa kontroversi yang tidak diperlukan berhubung isu istilah ‘Allah’ hanya sebahagian kecil daripada keputusan-keputusan sedemikian yang gereja-gereja di Malaysia perlu tangani.

“Saya berharap ia bersifat sementara sahaja dan saya berdoa kebebasan beragama akan dilaksanakan tanpa sebarang halangan dan kesedaran serta toleransi berkembang.

“Sementara kita menaruh harapan dan keinginan bagi kasih sayang, kebenaran, keamanan, keadilan, muhibah antara manusia, tanpa agama semua ini adalah palsu dan berbahaya,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai Krismas, beliau berkata Krismas adalah mengenai Tuhan yang memberitahu dunia bahawa dalam rancangan Tuhan, ruang tidak ada bagi sikap diskriminasi.

“Kita perlu meraikan Krismas bukan kerana kelahiran Yesus adalah konsisten dengan kehidupan dan dunia kita, bukan kerana ia mencerminkan keadaan kita, tetapi kerana kita boleh bersikap benar terhadap diri sendiri, jujur di hadapan Tuhan yang kelihatan ‘lemah’ dalam seorang bayi yang tidak berdaya dan tidak dapat bersuara.

“Tuhan menunjukkan kepada kita pada hari ini kesatuan orang yang ketakutan seperti pekerja dalam tempat penginapan yang diubah suai, Tuhan memberikan maruah kepada orang yang terbuang, dipinggirkan dan dipijak, Tuhan menegaskan semua mereka dialu-alukan walaupun tidak dipercayai, di palungan dan dalam kerajaan Tuhan,” katanya.