Pengurangan elaun tidak jejas usaha bantu rakyat

0

KOTA SAMARAHAN: Tindakan mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus berkuat kuasa 1 Januari ini tidak akan menjejaskan usaha mereka untuk terus membantu rakyat.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata terdapat pelbagai cara boleh digunakan oleh menteri mahupun timbalan menteri untuk  membantu masyarakat di kawasan masing-masing.

“Kita mengalu-alukan apa sahaja usaha kerajaan  lebih-lebih lagi kalau diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Walaupun pemotongan ini mungkin tidak begitu besar, kalau ia dilakukan dalam semangat mahu membantu rakyat, kita terima dengan hati terbuka, tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita di sini semalam apabila diminta mengulas tindakan Perdana Menteri memotong elaun keraian menteri dan timbalan menteri berkuat kuasa hari ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pengagihan Dividen Tahun 2013 Peserta FELCRA Berhad Wilayah Sarawak.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menambah, kaedah lain boleh digunakan ialah projek ‘touch point’ dan pengupayaan sumber kewangan dan sebagainya.

Isnin lepas Najib mengumumkan tindakan tersebut adalah antara 11 langkah diambil bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam dan memberitahu ia selaras dengan hasrat kerajaan mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Kata Najib lagi, kerajaan juga antara lain akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas.

Selain itu kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus.