Azam untuk berubah perlu berpaksi kepada syariat bukan emosi: Imam

0

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu menanam azam dan tekad untuk sentiasa berusaha ke arah kebaikan dan prestasi lebih cemerlang dengan bersandarkan syariat dan bukan mengikut emosi.

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata mereka yang mempunyai prestasi cemerlang pastinya akan lebih berjaya sekiranya menghalakan tindakan dan perbuatan mereka kepada perkara yang membawa kebaikan.

“Apalah gunanya jumlah ramai, jika mempunyai minda yang lemah, kurang jati diri dan mudah dipengaruhi serta dimanipulasi musuh?,” katanya ketika menyampaikan khutbah solat Jumaat yang pertama bagi 2014 di Masjid Negara, di sini semalam.

Dalam khutbah bertajuk ‘1 Azam, 1 Tekad’ itu, Syaikh Ismail berkata umat Islam perlu bijak menyeimbangkan kecemerlangan dalam kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi, kerana peranan mereka bukan setakat ibadah khusus semata-mata, tetapi sebagai khalifah di dunia.

“Bayangkan, bagaimana mungkin umat Islam mampu menjadi khalifah dan mentadbir sesebuah negara jika kita kurang cemerlang dan jauh ketinggalan berbanding golongan lain,” katanya.

Justeru, beliau berkata umat Islam bukan sahaja perlu cemerlang dalam aspek akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan, tetapi juga dalam konteks pelaksanaan kerja yang diamanahkan serta hasil kerja yang dilakukan di dunia ini. — Bernama