DAP Nibong Tebal bantah Sistem Parkir Kereta Berbayar di SPS

0

BUKIT MERTAJAM: DAP cawangan pekan Nibong Tebal mahu kerajaan negeri Pulau Pinang memansuhkan Sistem Parkir Kereta Berbayar (SPKB) di Seberang Perai Selatan (SPS) yang bermula Rabu lepas kerana ia menambah beban perbelanjaan penduduk yang mempunyai kereta.

Pengerusinya Teoh Seong Hooi berkata penduduk sudah pasti akan terasa bebannya kerana sebelum ini daerah SPS terutama di Nibong Tebal tidak pernah mengenakan sebarang caj tempat meletak kereta.

“Sebelum ini semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang, DAP pernah menentang sekeras-kerasnnya pelaksanaan SPKB di Nibong Tebal dan mengapa sekarang mereka mahu buat semula sistem itu.

“Lagipun lebih 70 peratus penduduk di Nibong Tebal adalah golongan sederhana,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mengenai bantahan SPKB kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini semalam.

Kerajaan negeri pada tahun lepas mengumumkan melaksanakan sepenuhnya SPKB di Pulau Pinang mulai 1 Jan 2014 dan bagi kawasan SPS, MPSP mengenakan caj 40 sen sejam.

Teoh berkata SPKB bukan sahaja akan membebankan pengguna yang berkereta malah perniagaan para pekedai dan penjaja di kawasan Nibong Tebal juga akan terjejas kerana orang ramai pasti mengelak untuk meletakkan kereta di kawasan berbayar.

“Lagipun daerah SPS bukan menghadapi masalah tempat letak kereta seperti di kawasan pulau di Pulau Pinang, jadi kami harap kerajaan negeri dapat tangguhkan atau terus mansuhkan sahaja kerana ia memang membebankan walaupun cajnya hanya 40 sen sejam,” katanya.

Bagi seorang penduduk, Omar Din, 53, berkata walaupun caj yang dikenakan itu kecil tetapi ia turut memberi kesan kepada pengguna kerana akan menambah jumlah perbelanjaan mereka.

“Saya bekerja buruh dan kebanyakan penduduk di Nibong Tebal juga bukanlah bergaji besar, jadi caj itu pasti bebankan kami. Lagipun selama ini kami tidak pernah dikenakan caj kenapa mesti sekarang perlu membayar.

“Mana kerajaan negeri yang prihatin kepada rakyat kalau semua benda hendak dikenakan caj dan bayaran,” katanya. — Bernama