Johnny belum putuskan skuad

0

TURUN ILMU: Johnny memberi tip kepada pemainnya semasa perlawanan persahabatan menentang skuad senior Sarawak pada 29 Disember lalu di Stadium Negeri.

Lebih banyak latihan dan pendedahan diperlukan oleh skuad Piala Presiden Sarawak

KUCHING: Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak, Johnny Dominicus mahu melakukan lebih banyak eksperimen terhadap anak-anak buahnya sebelum memutuskan barisan kesebelasan utama. Tegasnya, skuad perlu menjalani lebih banyak latihan dan perlawanan pendedahan untuk membina keyakinan serta persefahaman terutama di kalangan pemain-pemain baharu.

“Saya masih menilai keupayaan semua pemain terutama pemain baharu sebelum menetapkan kesebelasan utama skuad,” katanya semalam. “Namun, saya cukup berpuas hati kerana beberapa pemain yang pernah bermain pada saingan lalu menunjukkan peningkatan yang cukup ketara.

” Ini tonik buat skuad dan diharap dapat membantu merealisasikan impian Sarawak memburu kejuaraan pada musim ini, ujar Johnny lagi. Mengulas mengenai perlawanan persahabatan menentang skuad senior tempoh hari, Johnny menjelaskan pemain telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi untuk memberi tentangan terhadap abang-abangnya.

Malah, kesungguhan beberapa pemain baharu cukup membanggakan beliau dengan memperagakan aksi yang cukup meyakinkan. “Saya tidak menilai keupayaan skuad berdasarkan keputusan perlawanan tersebut. Sudah pasti memang sukar untuk menandingi pemain senior yang mempunyai kemahiran tinggi serta pengalaman yang luas.

“Bagi saya, lebih baik mereka tewas semasa perlawanan ujian supaya kita dapat mengenal pasti dan memperbaiki segala kelemahan yang masih ada,” ujarnya. Menurut jurulatih dari Sabah itu, beliau akan meningkatkan latihan sebagai persediaan menghadapi musim baharu yang hampir membuka tirainya.

“Saya harap Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memberi kelulusan untuk membawa pemain ke Sabah bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad di sana,” ujar Johnny sambil menambah perlawanan tersebut dijangka diadakan pada pertengahan Januari ini.

Sarawak akan memulakan kempen Piala Presiden 2014 menentang Kedah pada 27 Januari di gelanggang lawan. Pada musim lalu, skuad negeri sekadar menduduki tangga ke-15 dari 18 pasukan dengan merekod enam kemenangan, 11 seri dan 17 kekalahan untuk mengumpul 29 mata.