Tiong tutup tirai boling 2013 dengan cemerlang

0

KUCHING: Pemain boling remaja kebangsaan Christopher Tiong menutup tirai 2013 dengan cemerlang setelah menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Boling Antarabangsa Pesta Pulau Pinang ke-41 yang diadakan di Prai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Atlet kelahiran Sibu itu membuat jatuhan pin sebanyak 4,980 untuk berada di belakang juara Rafiq Ismail (5,295) dan naib juara Alex Liew (5,134).

Lebih membanggakan, beliau berjaya melepasi pemain kebangsaan Adrian Ang yang mengumpul 4,930 dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek dengan 4,896 pin.

Dalam saingan Terbuka Remaja Lelaki, Tiong menduduki tempat keempat manakala rakan senegeri Muhd Syafiq Sajeli muncul johan.

Acara Graded Wanita pula menyaksikan Nur Syafiqah Sajeli meraih tempat kedua sementara Amanda Ting Bao Er di tempat kelima dalam kategori perempuan bawah 12 tahun. Pada September 2013, Tiong berjaya menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Boling Indonesia ke-11 menerusi acara Terbuka Remaja.

Selain dua kejohanan besar tersebut, Tiong juga pernah menyertai Terbuka Filipina dan Terbuka Taiwan di mana beliau berjaya menduduki tempat kelapan dan ke-14.

Beliau sedang menyertai sesi pemilihan pemain pelapis dan elit kebangsaan sejak kelmarin dan berakhir pada Selasa depan di Sunway Megalanes, Selangor.

Sesi pemilihan itu bertujuan mencari enam pemain bagi skuad elit dan lapan bagi skuad pelapis.

Pemain Sarawak yang turut serta pada sesi pemilihan tersebut ialah Daniel Tan. Chong Jun Foo, Nerosha Keligit, Jonathan Ding Sagan, Nadine Kong dan Syafiq Sajeli tidak turut serta meskipun turut disenarai.