Wednesday, November 30

Landasan cungkil pemain berbakat

0

BERBAKAT: Sudarsono (barisan belakang, tiga kiri) bersama exco FAS dan wakil Isuzu bersama pasukan Limbang yang menjuarai Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak pada bulan lalu.

Tindakan tegas diambil jika persatuan bola sepak bahagian enggan sertai kejohanan anjuran FAS

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana persatuan bola sepak bahagian yang enggan menyertai kejohanan anjuran FAS pada masa akan datang.

Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman berkata beliau akan membawa usul tersebut pada mesyuarat exco persatuan yang akan diadakan nanti.

“FAS memandang serius perkara ini kerana ia merencatkan program pembangunan bola sepak negeri. Justeru, katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana persatuan bahagian yang enggan menyertai kejohanan anjuran FAS pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.

Katanya, bentuk tindakan tersebut hanya akan diputuskan sebaik mendapat persetujuan daripada semua exco FAS pada mesyuarat persatuan nanti.

Menurut Sudarsono, Sarawak mempunyai ramai pemain bola sepak berbakat dari seluruh bahagian negeri ini.

Beliau berkata, pemain-pemain terbabit memerlukan landasan untuk menonjolkan potensi mereka agar dapat dibawa ke pentas yang lebih tinggi.

“Saya ingin memberi contoh pasukan Limbang yang menjuarai Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak pada bulan lalu.

“Mereka sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk datang ke sini kerana mahu memberi pendedahan kepada pemain-pemain remaja yang berpotensi,” ujarnya.

Katanya, beliau sedar beberapa persatuan bahagian berdepan kekangan kewangan untuk mengambil bahagian pada kejohanan anjuran FAS.

Dalam hal ini, beliau menegaskan pemimpin di setiap bahagian harus bertanggungjawab, komited dan serius menangani masalah tersebut.

“FAS akan sentiasa membantu namun pada masa sama pemimpin di setiap bahagian juga perlu tampil dengan inisiatif sendiri untuk membangunkan persatuan masing- masing.

“Mereka tidak boleh selama- lamanya mengharapkan bantuan dan perlu bekerja keras mencari penaja untuk menaja pasukan mereka,” jelas beliau.

Katanya, tanpa penaja adalah sukar untuk menjalankan aktiviti berkaitan bola sepak kerana sukan itu menelan belanja yang besar.

“Kita lihat di Miri dan Bintulu di mana banyak kejohanan bola sepak diadakan di sana setelah mendapat tajaan dari Petronas.

“Saya yakin bahagian lain juga mampu melakukan perkara serupa, namun mereka perlu meyakinkan penaja dengan program bola sepak yang terancang dan berterusan,” katanya.