SLTA berhasrat lakar lebih banyak kejayaan

0

PATRICK

KUCHING: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) berhasrat untuk melakar lebih banyak kejayaan pada tahun ini susulan pencapaian cemerlang pada 2013.

“Tahun 2013 menjadi detik cemerlang buat SLTA di mana kita berjaya menganjurkan tujuh kejohanan tenis antarabangsa. Selain itu, saya juga dianugerahkan kepimpinan ‘Sports For All’ dari Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (JBS),” kata Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew.

Menurut Patrick, tujuh kejohanan besar yang berjaya dianjurkan ialah Sirkit Remaja ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak 21 (I), Kelayakan Akhir Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia Asia Oceania (lelaki dan wanita), pra-kelayakan Piala Junior Davis Asia Oceania, Siri 9 ATF Asia 14 tahun ke bawah dan Sirkit Remaja ITF (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak 22 (II).

Selain itu, SLTA juga turut menjadi tuan rumah kejohanan tenis Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan pada Mac, program Play and Stay (Januari), Tertutup Sarawak dan Antara Bahagian (Mei), Remaja Masters Sarawak (Disember) dan sambutan ulang tahun ke-50 persatuan sepanjang tahun lalu.

Bilik persalinan pemain juga telah dinaik taraf sebagai langkah menaikkan imej SLTA.

“Pada tahun ini, SLTA akan menjadi tuan rumah lima kejohanan Sirkit Remaja ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-23 (I) pada Mac, Kelayakan Akhir Piala Junior Davis Asia Oceania dan Kelayakan Akhir Piala Junior Fed Asia Oceania (April), Siri Asia Bawah 14 tahun (September) dan Sirkit Remaja ITF (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-24 (II) pada Oktober,” katanya.

Menurutnya, SLTA juga optimis mengulangi pencapaian cemerlang pada SUKMA XVII yang akan diadakan di Perlis dari 27 Mei hingga 4 Jun depan.

“Kita mensasarkan empat pingat emas kali ini menerusi Mohd Assri Merzuki (perseorangan lelaki), Ariez Elyaas Deen Hesham dan Alvin Teng (berpasukan lelaki), Aslina Chua (perseorangan wanita) dan berpasukan lelaki,” katanya.

Sarawak merangkul tiga pingat emas, empat perak dan tiga gangsa untuk muncul juara keseluruhan pada SUKMA XIII di Melaka pada 2010.