JKMNS sedia hadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir

0

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ini kerana ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi sebelum ini menyatakan bahawa Sarawak akan mengalami musim tengkujuh sehingga Mac akan datang.

“Walaupun ketika ini keadaan cuaca sudah bertambah baik, jumlah mangsa, pusat pemindahan dan sekolah ditutup sementara sudah berkurangan, JKMNS akan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi di semua pangkalan hadapan.

“Selain itu kita juga akan membuka bilik gerakan banjir JKMNS untuk memantau situasi ini dari semasa ke semasa.

“Ini kerana keadaan hujan diramal akan berterusan sehingga Chap Goh Mei atau lebih tepat Mac nanti” katanya pada sidang media selepas merasmikan Quantum Neurofeedback Training Centre di sini semalam.

Beliau menambah, JKMNS memantau ketat kawasan-kawasan terjejas sebelum ini iaitu bahagian Miri, Sri Aman, Kuching, Bintulu, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah dan Sarikei.

“Ini adalah berdasarkan rekod kami semasa banjir mula berlaku di Sarawak pada 20 Disember 2013 dan keadaan putaran angin seperti dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi kepada kami baru-baru ini,” jelasnya.

Fatimah yang juga ahli Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri berkata berdasarkan statistik dikeluarkan JKMNS sehingga kini (20 Disember 2013 hingga semalam) jabatan itu telah mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir bernilai RM233,285.

Katanya statistik JKMNS juga mendapati secara keseluruhannya iaitu dari 20 Disember 2013 hingga jam 9 pagi semalam, sebanyak 147 kawasan terjejas melibatkan 3,991 keluarga dan 21,999 mangsa.

“Semalam saya memberitahu ada tiga pusat pemindahan banjir beroperasi, jumlah itu berkurangan kepada dua selepas pusat pemindahan di SK Kampung Iran ditutup jam 3 petang kelmarin.

“Dua lagi pusat pemindahan yang masih dibuka setakan jam 9 pagi hari ini ialah Dewan Masyarakat Bakong, Miri menempatkan 17 keluarga atau 76 mangsa dan Dewan Sukan Tatau, Bintulu, terdapat 40 keluarga atau 151 mangsa,” katanya.