Friday, August 23

Pengguna merungut harga gas di Limbang melambung

0

LIMBANG: Belumpun reda isu kenaikan harga barang, masyarakat di sini dikejutkan dengan kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi 14 kilogram antara RM5 dan RM7.40 yang disifatkan oleh mereka sebagai amat membeban-kan.

Kenaikan mendadak gas LPG itu difahamkan berlaku sejak awal tahun ini apabila orang ramai yang ingin membeli gas LPG terpaksa membayar sehingga RM34, berbanding harga subsidi yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM26.60 bagi Daerah Limbang.

Seorang penduduk, Lau, 50-an, dari Taman Poyan di sini berkata, beliau terpaksa membayar RM34 untuk mendapatkan gas LPG, baru-baru ini.

“Kenaikan harga gas LPG ini memang amat membebankan saya, ditambah lagi dengan kenaikan harga barang lain yang berlaku seka-rang ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau yang terkejut dengan kenaikan harga tersebut berkata, masalah berkenaan sememangnya membebankan apatah lagi dengan kedatangan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Masalah ini memang membebankan rakyat. Tahun Baharu Cina akan disambut tidak lama lagi dan kami perlu menggunakan gas LPG  untuk memasak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Limbang, Jubin Janggong ketika dihubungi semalam berkata, kenaik-an harga LPG tidak dapat dielak berikutan Projek Penyeragaman Harga (PPH) yang dilaksanakan kementeriannya belum dapat di-teruskan.

Beliau menjelaskan, PPH belum dapat disambung bukan sahaja di Limbang, malah di seluruh negeri dan kementeriannya sedang mengadakan rundingan harga dengan kontraktor untuk meneruskan pelaksanaan projek tersebut pada tahun ini.

Ujar beliau, kontrak projek tersebut berakhir Disember lepas dan akan diteruskan pada tahun ini dengan melantik kontraktor baharu bagi melaksanakan PPH termasuk di Limbang.

“Sebelum ini, harga subsidi barangan termasuk gas LPG untuk kawasan bandar dan luar bandar memang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui PPH.

“Namun, projek berkenaan masih belum dapat dijalankan di negeri ini dan kementerian masih mengadakan rundingan harga barangan untuk projek berkenaan sebelum dapat diteruskan,” katanya sambil menjelaskan kontraktor akan dilantik setahun sekali.

Jubin yang tidak mengetahui bila PPH dapat dijalankan semula pada tahun ini berkata, apa jua keputusan hanya dapat dibuat oleh pihak atasan KPDNKK.

Beliau turut memberi jaminan masalah itu tidak akan berpanjangan dan keadaan akan kembali pulih apabila PPH diteruskan nanti.

“Buat masa ini para peniaga termasuk peniaga gas LPG terpaksa menanggung subsidi dan tambang pengangkutan sendiri menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan terbabit yang mana sebelum ini ditanggung sepenuhnya kerajaan melalui PPH,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar bersabar sehingga PPH dapat diteruskan semula untuk tahun ini.

PPH merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dengan memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman agar pengguna tidak dibebankan dengan harga yang tinggi.

PPH dilaksanakan bagi memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman mendapat barang kawalan seperti beras, tepung gandum, minyak masak dan gula kasar pada harga kawalan dan 50 jenis keperluan lain dengan harga lebih rendah.

Sarawak merupakan negeri yang paling banyak mempunyai kawasan PPH iaitu 485 diikuti Sabah (460) kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai muka bumi yang luas.

Program itu telah berjalan dengan lancar serta memberi impak yang amat besar kepada penduduk di kawasan pedalaman.