Projek RM11.3 juta bermula di Kampung Datu Baru

0

UNTUK RAKYAT: Abang Johari (dua kiri) mendengar penerangan Sulaiman (lima kanan) mengenai pelan projek pembangunan perumahan baharu di Kampung Datu Baru, Sibu petang semalam.

SIBU: Kerajaan telah me-mulakan projek pembangunan perumahan baharu bernilai RM11.3 juta di Kampung Datu Baru dan Batu 11, Jalan Ulu Oya di sini.

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, projek yang melibatkan pembinaan pelbagai infrastruktur itu turut merangkumi pembangunan semula Kampung Datu dan sebahagian Kampung Hilir di kawasan seluas 326 ekar.

Menurut beliau, mangsa kebakaran besar yang hampir melenyapkan Kampung Datu dan sebahagian Kampung Hilir tahun lepas akan diberi keutamaan untuk membeli rumah di tapak itu.

Kebakaran terburuk dalam sejarah Sibu pada kira-kira jam 4 petang, 19 Jun 2013 memus-nahkan lebih 60 rumah kampung Melayu tradisional, sekali gus menyebabkan 597 orang daripada 144 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Abang Johari berkata, projek tersebut diselaraskan oleh Kementerian Perumahan dan agensi pelaksana, Lembaga Pembangunan dan Lindu-ngan Tanah (PELITA) de-ngan menyediakan sebanyak 175 lot untuk diagihkan kepada para penduduk dan membina sebanyak 30 buah unit Rumah Mesra Rakyat bagi Fasa I.

“Projek (Fasa I) seluas 26 ekar ini melibatkan penyusunan semula kampung yang sedia ada merangkumi 208 rumah dan 300 hingga 500 keluarga dari Kampung Datu dan sebahagian Kampung Hilir,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tentang pembangunan dan melawat tapak projek tersebut di Kampung Datu Baru di sini, petang semalam.

Taklimat disampaikan oleh Pengurus Kanan Bahagian Harta Benda dan Kejuruteraan PELITA, Monaliza Zaidel.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Perumahan merangkap Men-teri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Pengurus Besar PELITA Datu Dr Sulaiman Husaini dan Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, objektif pembangunan semula Kampung Datu ialah untuk menaikkan taraf hidup penduduk setempat dan memodenkan perkampungan Melayu dengan menambah baik persekitarannya supaya menjadi lebih teratur, terancang dan tersusun.

“Ia juga adalah untuk mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan berkenaan melalui kegiatan komersial dari segi jangka panjang,” jelasnya.

Katanya, projek ini melibatkan penembokan tapak, perparitan, jalan raya, kemudahan awam dan pembinaan unit-unit rumah mampu milik.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Fasa II dan Fasa III pula melibatkan pembangunan semula Kampung Datu yang sedia ada dan pembangunan bercampur/perumahan di kawasan ‘sivilculture’ di Batu 11, Jalan Hulu Oya di sini.

“Projek di kawasan ‘sivilculture’ itu adalah untuk menampung keperluan perumahan keluarga tambahan dari kampung-kampung yang berkenaan.

“Kedua-dua fasa itu melibatkan kawasan seluas 300 ekar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerja-kerja penimbusan tanah di tapak projek Kampung Datu Baru Fasa I telah disiapkan pada November lalu dengan kos RM6.5 juta.

Katanya, kerja-kerja infrastruktur untuk Kampung Datu Baru juga telah dimulakan pada 3 Januari lalu dan dijangka siap pada September tahun ini.

“Pembangunan infrastruktur ini memastikan tapak perumahan di tempat tersebut akan disediakan dengan kemudahan jalan, perparitan dan utiliti yang baik dan terancang,” tambahnya.

Abang Johari menjelaskan kementeriannya dan PELITA juga merangka pelan struktur projek pembangunan di tapak ‘sivilculture’ merangkumi pelbagai kemudahan asas, perumahan awam dan pusat komersial seterusnya menjadikannya pekan baharu serba lengkap dalam tempoh 10 tahun akan datang.