JHEV sasar bina, baik pulih 800 unit rumah bekas tentera

0

MELAKA: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan membina dan membaik pulih 800 unit rumah bekas anggota tentera di seluruh negara dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini.

Ketua Pengarah JHEV Datuk Mohd Noor Daud berkata program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu merupakan penghargaan kerajaan terhadap jasa veteran tentera yang pernah berkhidmat mempertahankan keselamatan negara selain memastikan nasib golongan itu terbela.

“Sehingga hari ini kita menerima sebanyak 1,300 permohonan bagi membina dan membaik pulih rumah veteran di seluruh negara namun kita sasarkan untuk melaksanakannya secara berperingkat dengan 200 unit setiap tahun sehingga 2017,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke pejabat JHEV cawangan Negeri Sembilan/Melaka di Wisma Persekutuan di Ayer Keroh di sini, semalam.

Beliau berkata bagi tahun ini, sebanyak 130 rumah baharu akan dibina dengan nilai RM45,000 seunit di Semenanjung Malaysia manakala RM50,000 seunit di Sabah dan Sarawak serta 70 unit rumah akan dibaik pulih dengan kos bernilai RM13,000 (Semenanjung Malaysia) dan RM15,000 (Sabah dan Sarawak) melibatkan peruntukan keseluruhan RM7.5 juta.

Katanya program tersebut dijangka dilaksanakan Mac depan setelah senarai pemilihan akhir diserahkan kepada unit pelaksana Kor Jurutera Diraja ATM hujung Februari ini.

Melalui program berkenaan katanya seunit rumah baharu mengambil masa antara 30 hingga 45 hari untuk disiapkan manakala satu hingga dua minggu bagi proses membaik pulih seunit rumah.

Terdahulu, Mohd Noor turut menyaksikan serah terima tugas Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan/Melaka Mejar Nik Anuar Nik Man dengan Mejar Mohd Wazli Laili.

Nik Anuar, 42, yang telah berkhidmat selama dua tahun sebagai Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sembilan/Melaka akan bertukar ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja Kem Sunggala Port Dickson sebagai Ketua Skuarden dan digantikan Mohd Wazli, 38, dari Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kem Batu 10 Kuantan, Pahang. — Bernama