PIKAP mahu mewakili majikan mohon i-Kad

0

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) semalam menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan agensi pekerjaan mewakili majikan-majikan untuk memohon i-Kad bagi pekerja asing mereka.

Presiden PIKAP Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata agensi pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga kerja dan Jabatan Imigresen perlu dibenarkan berbuat demikian bagi mengurangkan beban majikan dan pekerja berkenaan.

“Jika majikan dan pekerja sendiri perlu pergi ke Jabatan Imigresen untuk memohon kad ini, saya percaya ia akan menjejaskan produktiviti kerja mereka kerana perlu berbaris dan menunggu lama untuk permohonan mereka diproses,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata, PIKAP menyambut baik cadangan KDN untuk mewajibkan pekerja asing di negara ini memiliki i-Kad tetapi kaedah pelaksanaannya haruslah dipermudahkan.

KDN sebelum ini dilaporkan hanya memberikan kebenaran kepada majikan dan pekerja asing itu sendiri untuk memohon i-Kad dan melarang sebarang permohonan melalui ejen atau orang tengah.

Langkah itu sebagai usaha membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

Menurut KDN setakat ini negara mempunyai kira-kira 2.3 juta pekerja asing yang berdaftar.

i-Kad yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi seperti biometrik cap jari, Nexcode dan ‘contactless chip’ akan diberikan secara berperingkat.

Selain untuk pekerja asing, penggunaan i-Kad juga bakal diperluaskan kepada penuntut asing. — Bernama