SMK Paku anjur program suai kenal pelajar baharu

0

BAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pekan Bau di sini menganjurkan program suai kenal untuk pelajar baharu tingkatan satu dan peralihan.

Program berlangsung mulai 1 hingga 7 Januari lalu membabitkan pelajar-pelajar yang diterima masuk dari 11 buah sekolah rendah di daerah ini.

Pelbagai aktiviti dirancang rapi oleh penyelaras program, Lau Ing Tze yang juga kaunselor sekolah dan memberi banyak input positif kepada para pelajar.

Dalam pada itu, beberapa orang pelajar yang sempat ditemui me-nyatakan rasa gembira mengikuti program tersebut kerana mendapat ramai kawan baharu serta menyeronokkan.

Salah seorang pelajar, Leonard Chee yang sebelum ini bersekolah di SJK Chung Hua, Bau berkata tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran di tingkatan satu.

Pada majlis penutupan rasmi program itu, Pengetuanya, Jaminah Alias berkata alam persekolahan di sekolah rendah berbeza dengan sekolah menengah.

Justeru, program seperti ini akan mendedahkan pelajar dengan perkara baharu dan menyediakan mereka menghadapi suasana di sekolah menengah.

Beliau turut mengingatkan para pelajar akan disiplin, keselamatan dan kebajikan serta tanggungjawab sebagai pelajar sepanjang persekolahan di SMK Paku.