Saturday, August 15

Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo dibuka Khamis ini

0

KOTA KINABALU: Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) yang terletak  bersebelahan  Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok di Sandakan akan dibuka kepada pengunjung mulai Khamis ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius Ambu berkata antara lain orang ramai boleh melihat 28 ekor beruang madu di BSBCC, yang ditubuhkan untuk melindungi, memulihara serta memberi kesedaran dan pengetahuan berhubung hidupan liar itu yang terancam akibat aktiviti pemburu haram.

Katanya Beruang Madu diwartakan sebagai spesies dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

“Pusat ini menempatkan 28 ekor beruang madu, yang diserahkan orang awam, yang kini berumur antara satu tahun setengah hingga 20 tahun. Daripada jumlah itu, tujuh ekor adalah jantan dan bakinya betina,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

BSBCC yang berkeluasan 2.5 hektar, mempunyai beberapa kemudahan termasuk platform untuk memerhati, laluan pejalan kaki, dua rumah beruang, pusat pelawat, pejabat dan pusat informasi beruang madu.

Pada masa ini, BSBCC mampu menampung sehingga 40 ekor beruang dan Jabatan Hidupan Liar Sabah sedang berusaha menempatkan beruang-beruang yang diserahkan orang awam di pusat itu.

BSBCC ditubuhkan pada 2008 hasil kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan, Land Empowerment Animals People (LEAP).

Program angkat beruang madu dikenakan bayaran RM15,000 seekor setahun untuk sektor korporat dan RM300 seekor sebulan atau RM500 seekor bagi enam bulan untuk sektor awam.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC Wong  Siew Te berkata pembinaan pusat itu, yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan, menelan belanja RM6 juta manakala penyelenggaraannya dianggarkan RM900,000 setahun.

“Antara penyumbang utama bagi pembinaan BSBCC ialah Yayasan Sime Darby, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  Sabah,” katanya.

Menurutnya pusat itu dapat membantu beruang madu yang kian hilang habitatnya dan diancam kepupusan akibat diburu bagi memenuhi permintaan dalam perniagaan perubatan tradisional atau dijadikan haiwan peliharaan.

Aktiviti pemburu haram beruang madu antara punca utama jumlah spesies itu merosot sekurang-kurangnya 30 peratus sejak tiga dekad lepas. — Bernama