Waspada menghadapi gelombang kedua banjir

0

PANTAU: Abu Seman bersama pasukan petugas banjir sedang memantau beberapa lokasi di Matu yangh dinaiki air pada gelombang pertama banjir lepas.

Akan berlaku pada bila-bila masa kerana keadaan cuaca masih tidak menentu dan lebih kerap hujanMATU: Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Jamoreng Abu Seman Jahwie mengingatkan penduduk di sekitar kawasan Matu agar terus berjaga-jaga dan berwaspada setiap masa, terutama dalam menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Katanya situasi dan kepekaan seperti ini amat penting, memandangkan pada masa ini keadaan cuaca masih lagi tidak menentu dan lebih kerap hujan.

“Keadaan amat membimbangkan. Maka dengan itu, saya ingin mengingatkan penduduk yang tinggal atau berada di kawasan yang rendah, mudah dinaiki air, berhampiran dengan sungai serta keadaan-keadaan yang seumpamanya agar tidak lalai, tetapi sentiasa peka dengan situasi yang berlaku di persekitaran mereka.

“Pada masa yang sama juga, saya menyeru kepada ibu bapa agar memantau  pergerakan anak-anak mereka terutama yang masih kecil, yang sering beranggapan banjir adalah peluang untuk mereka bermain dan bersuka ria.

“Ibu bapa harus memantau, melarang dan mengingatkan anak-anak mereka tentang bahaya yang boleh berlaku jika mereka beranggapan sedemikian,” katanya ketika dihubungi media, semalam.

Dalam kata peringatannya juga, Abu Seman turut menyeru para penduduk di lokasi terbabit agar menyimpan segala dokumen dan barang-barang berharga di lokasi yang selamat dan mudah untuk diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Pada masa yang sama, saya turut menyeru kepada semua agensi  yang terlibat dalam operasi banjir agar sentiasa dalam keadaan bersiap sedia,” tegasnya lagi.

Meskipun Matu kini kembali pulih, namun penduduk tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku lagi berikutan keadaan cuaca buruk sejak beberapa hari lalu.

Penduduk Matu bersedia menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir yang dijangka berlarutan sehingga sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

Menurut Suraya Akim, Walaupun keadaan cuaca di Sarawak semakin baik, namun pihaknya masih dalam keadaan berjaga-jaga.

Katanya tinjauan di sekitar Matu semalam mendapati daerah ini hampir pulih sepenuhnya apabila kesemua jalan yang ditenggelami air sudah dapat dilalu kenderaan kecil.

“Kadang-kadang panas dan adakalanya hujan lebat. Setakat ini, keadaan cuaca masih tidak menentu.

“Lazimnya, banjir akan berlaku jika hujan lebat berterusan,” kata Suraya Akim, 24, dari Kampung Alud.

Bagi, Seman Munir, 45, dari Jemoreng, gelombang pertama banjir yang telah berlaku sebelum ini telah menyebabkan beberapa bahagian rumah kediamannya mengalami beberapa kerosakan.

“Apabula air surut kebelakangan ini, saya telah mengambil kesempatan untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku, dengan harapan ia tidak menjadi semakin teruk sekiranya gelombang kedua banjir berlaku lagi.

“Saya kini sedang menaikkan paras lantai dapur kerana bimbang ia dinaiki air sekali lagi.

“Meskipun banjir di Matu tidak seteruk tempat lain namun kami tetap akan berwaspada,” katanya.

Dalam pada itu, Sabrani Ali, 50, dari Kampung Sekaan Kecil berkata, pengalaman tempoh hari membuatkannya lebih bersedia untuk menghadapi bencana alam terbabit.

“Barangan seperti almari pakaian, peralatan dapur  kami pindahkan lebih awal, manakala yang selebihnya terpaksa gantung di dalam rumah bimbang rosak ditenggelami air,” katanya.