TBC: Barang keperluan harian cukup di pasaran

0

SIBU: Barang keperluan harian mencukupi di pasaran bagi menampung permintaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di sini.

Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu Balraj Singh berkata, pengguna khususnya mereka menyambut perayaan tersebut diminta supaya tidak bimbang akan situasi barang-barang di pasaran.

“Segalanya mencukupi seperti telur, ayam, ikan, daging dan sebagainya cukup untuk rakyat di Sibu semasa perayaan TBC.

“Jangan dengar khabar angin tentang sesuatu isu yang berkaitan dengan barang tidak cukup kerana pihak kita sudah memberi jaminan semuanya cukup,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan pemeriksaan harga barang-barang keperluan Ops Harga di Pasar Sentral Sibu di sini, semalam.

Pemeriksaan itu adalah bertujuan memantau harga barang-barang supaya para penjaja tidak menaikkan harga semasa musim perayaan ini.

Hadir sama Penolong Ketua KPDNKK Cawangan Sibu, Ganda Jirap.

Menurutnya, KPDNKK Cawangan Sibu sudah pun mengadakan sesi dialog dengan para pembekal tentang barang-barang keperluan di sini semasa musim perayaan.

“Namun, senarai harga barang kawalan akan diumumkan seminggu sebelum TBC. Ini akan memudahkan para pengguna membeli serta secara tidak langsung dapat menghalang para penjaja menaikkan harga,” jelasnya.

Sementara itu, Balraj menyeru kepada para penjaja dan peniaga supaya tidak mengambil peluang musim perayaan ini untuk menaikkan harga barang.

Tegasnya, pihak KPDNKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan sekiranya para penjaja didapati berbuat demikian.

“Para peniaga dan penjaja hendaklah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan misalnya meletakkan tanda harga dan menjual barang mengikut harga yang ditetapkan.

“Sesiapa penjaja ingkar akan dikenakan hukuman. Justeru, saya mahu pengguna sentiasa menyalurkan maklumat dan aduan kepada pejabat kami sekiranya ada penjaja menjual barang dengan harga yang tinggi,” katanya.