DARO: Jenazah dua mangsa dalam insiden bot terbalik dan karam di muara Batang Lassa yang ditemui lewat petang kelmarin dan awal pagi semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tekajong semalam.
Mangsa, Abu Bakar Mahli, 62, dan Ibong Rais, 60, dibawa ke kampung menggunakan bot semalam selepas dihantar ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut.
Abu Bakar dijumpai pada jam 5.30 petang kelmarin manakala Ibong ditemui jam 9 pagi semalam.
Dalam insiden berlaku di perairan Kampung Kut pada kira-kira jam 1.40 petang Sabtu lepas, 16 mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas bot panjang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak setinggi tiga kaki.
Mereka dalam perjalanan balik ke Kampung Tekajong selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai.
Mangsa yang ditemui mati lemas pada hari kejadian ialah Melati Jeraie, Sekiah Kipli dan Merah Morni.
Pada hari kedua, usaha mencari dan menyelamat mengesahkan penemuan mayat Naibi Saibi (60).
Kelmarin, lima mayat mangsa dikenal pasti sebagai Borhan Burdai (65), Riji Dalol (60), Kalsum Mat (50), Norsiah Abdullah (40) dan Abu Bakar berjaya dijumpai.
Setakat berita ini ditulis, apabila operasi memasuki hari keempat, usaha mencari Mahdani Akim (55) masih diteruskan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, tentera, Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan orang kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semop Abdullah Saidol ketika dihubungi berkata semua 10 mangsa yang dijumpai telah selamat dikebumikan di Kampung Tekajong.
“Usaha mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang diteruskan,” katanya.