Kerajaan salur bantuan kepada mangsa banjir

0

MIRI: Kerajaan akan terus menyalurkan bantuan makanan termasuk bantuan kewangan berjumlah RM500 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Disember tahun lalu, kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini termasuk di kawasan Baram.

Bagi kawasan Baram khususnya di konstituensi Telang Usan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu bahawa beliau sudah menghubungi pihak Pejabat Residen bagi mengetahui perkembangan mengenai proses pengagihan bantuan tersebut.

“Bantuan tersebut hanya disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir termasuk di konstituensi Telang Usan, sementara bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya dalam bentuk barang makanan,” tambahnya.

Beliau ketika dihubungi dari sini memberitahu, beliau amat berharap agar bantuan RM500 yang diagihkan kepada setiap keluarga yang terjejas itu turut meliputi mangsa-mangsa di Baram agar mereka tidak berasa disisihkan oleh kerajaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sumbangan berjumlah RM5 juta oleh syarikat minyak negara, Petronas kepada 21,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di Terengganu, Pahang dan Kelantan, Dennis berkata kerajaan negeri terbabit mungkin ada memohon bantuan tersebut.

“Saya percaya mereka ada memohon bantuan seperti itu dan permohonan mereka ditunaikan.

“Dalam pada itu, bagi kita di Baram pula, kita turut memohon mana-mana bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir terbabit, namun terpulang kepada mereka (pihak diminta bantuan) untuk menunaikannya atau tidak,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Dennis menggesa jabatan kerajaan berkaitan supaya menerima tuntutan banjir yang dikemukakan oleh mangsa, khususnya mereka yang telah kehilangan hasil tanaman dan ternakan akibat banjir.

“Ini kerana ramai daripada mereka datang kepada saya dan memberitahu bahawa kebanyakan tanaman mereka musnah akibat banjir.

“Justeru saya berharap tuntutan (kerugian) mereka akibat kehilangan punca rezeki itu dapat diterima oleh jabatan berkaitan,” katanya sambil menambah bahawa tuntutan seperti itu tidak mempunyai tarikh tutup untuk penyerahan borang seperti yang didakwa.

Dalam pada itu katanya, banjir di konstituensi Telang Usan semakin surut berbanding sebelumnya.