Kerjaya pemandu teksi mungkin tiada pewaris

0

BERTUAH: Chua (kanan) menyampaikan hamper kepada salah seorang pemenang cabutan bertuah pada Majlis Makan Malam sempena AGM Persatuan Pemilik Teksi Bahagian Sibu, malam kelmarin.

Kira-kira 90 peratus anak pemandu teksi tidak berminat teruskan kerjaya ibu bapa mereka

SIBU: Kira-kira 90 peratus anak-anak pemandu teksi di Sarawak tidak berminat untuk meneruskan kerjaya ibu bapa mereka.

Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Chua Beng Seng berkata, disebabkan senario itu negeri ini turut  menghadapi masalah kekurangan pemandu teksi khususnya di kalangan generasi muda.

“Saya difahamkan sebahagian daripada anak mereka (pemandu teksi) yang berpendidikan tinggi memilih kerjaya lain.

“Anak-anak mereka yang berada di luar negara turut tidak berminat untuk kembali ke tanah air bagi meneruskan kerjaya ibu bapa mereka.

“Masalahnya di sini, apabila pemandu teksi sudah berumur mereka berisiko menghadapi pelbagai penyakit dan dalam situasi ini mereka sangat memerlukan pengganti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Pemilik Teksi Bahagian Sibu di sini, kelmarin.

Ditanya adakah kerjaya sebagai pemandu teksi kurang mempunyai masa depan yang terjamin, Chua menegaskan bahawa tanggapan seperti itu tidak benar.

“Masih terdapat anak-anak muda yang suka dengan profesion sebagai pemandu teksi dan mereka ada membuat permohonan ke pejabat kami,” jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Pemilik Teksi Bahagian Sibu Robert Angkah berkata mereka menghadapi situasi yang sama di sini kerana kebanyakan pemandu teksi adalah golongan pesara.

Dalam perkembangan lain, Chua memberitahu bahawa pihaknya akan meneliti cadangan untuk menubuhkan Stesen Kenderaan Gas Asli (NGV) di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa Sarawak hanya mempunyai 1,300 teksi berbanding bilangan yang banyak di Semenanjung Malaysia.

“Ia memerlukan modal intensif untuk menubuhkan stesen NGV itu dan pihak berkenaan mestilah berhati-hati mengenai pelaburan itu di sini memandangkan terdapat hanya 1,000 lebih teksi di Sarawak,” katanya.

Ditanya mengenai masalah gejala van sapu, beliau mengakui bahawa masalah itu merupakan isu global.

“Satu usaha bersepadu daripada pelbagai agensi seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dimaklumkan bagi membantu menangani masalah tersebut,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Robert menggesa kira-kira 160 ahlinya untuk bekerjasama antara satu sama lain.

Hadir sama ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) Hu Yu Siong.