Markas 1 Divisyen sasar dominasi Pertandingan KIK pada tahun ini

0

TINGKATKAN INOVASI DAN KREATIVITI: Zaki (baris depan, empat kiri) bergambar kenangan dengan pegawai-pegawai staf Markas 1 Divisyen sempena Bengkel Penulisan Inovasi serta KIK Peringkat 1 Divisyen di Kompleks Markas 1 Divisyen, Kem Muara Tuang, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING:  Markas 1 Divisyen pada tahun ini meletakkan sasaran untuk mendominasi Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif di peringkat Kementerian Pertahanan.

Justeru, Panglima 1 Divisyen Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar menegaskan bahawa setiap formasi briged dan pasukan di bawah naungan 1 Divisyen mesti mempunyai pegawai yang berpengetahuan dalam melaksanakan projek-projek penulisan.

Selain itu, katanya keupayaan juga harus ditingkatkan menerusi persembahan berkaitan kualiti seperti Anugerah Pengurusan dan Inovasi Tentera Darat (AP & ITD) mahupun persembahan dalam projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

“Projek Inovasi dan KIK yang dihasilkan adalah amat penting di mana ia bukan sahaja untuk menyertai pertandingan atau mendapat pengiktirafan semata-mata tetapi juga bagi meningkatkan budaya inovasi yang dapat diguna pakai dalam menyelesaikan masalah.

“Malah, ia juga dapat meningkatkan hasil kerja atau produktiviti dalam organisasi dan seterusnya boleh dijadikan sebagai panduan kepada organisasi serta pasukan lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Bengkel Penulisan Inovasi serta KIK Peringkat 1 Divisyen di Kompleks Markas 1 Divisyen, Kem Muara Tuang di sini, semalam.

Menurut Zaki, 1 Divisyen pada tahun lepas telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi AP & ITD dengan memenangi Anugerah Pengurusan Divisyen, Anugerah Pengiktirafan Khas serta tiga kategori inovasi iaitu Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Kewangan dan Pengurusan Pelanggan.

Dalam pada itu, katanya 1 Divisyen turut merangkul johan keseluruhan bagi pertandingan Anugerah Inovasi Kementerian Pertahanan (AIKP) 2013 di mana dua daripada projek 1 Divisyen akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan iaitu Peranan Askar Wataniah Untuk Mendominasikan Kawasan Tanggungjawab (kategori Pengurusan Sumber Manusia) dan PGAT Regional atau Pusat Pergigian ATM Wilayah II (kategori Pengurusan Pelanggan).

“Bagi penyertaan tahun ini, saya berkehendakkan segala usaha dan komitmen dilipatgandakan bagi memastikan kejayaan tersebut dapat dicapai.

“Saya juga berharap kejayaan ini dapat dikekalkan dan dapat ditambah baik lagi bagi mencerminkan 1 Divisyen adalah sebuah organisasi yang sentiasa berinovasi dan mengejar kecemerlangan,” katanya.

Sementara, Bengkel Penulisan Inovasi serta KIK Peringkat 1 Divisyen dihadiri lebih 60 pegawai staf Markas 1 Divisyen.

Hadir sama Ketua Staf 1 Divisyen Kolonel Mohd Mahmud Ahad, Ketua Staf 3 Briged Kolonel Hashim Osman, Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Kolonel Adnan Abdullah, Ketua Pegawai Pergigian Koonel Hazudin Hassan dan Pemerintah Rejimen Jurutera Diraja Leftenan Kolonel Mustafa.

Penceramah jemputan untuk bengkel tersebut ialah Kolonel A. Endry Nixon dan Leftenan Kolonel Muhammad Rafi Abdul Kadir daripada Bahagian Inspektorat Tentera Darat.