Tinggal seorang mangsa tragedi bot karam belum ditemui

0

MUKAH: Persekitaran perairan Sungai Kut dan Saai masih belum tenang berikutan seorang lagi mangsa tragedi bot karam di Batang Lassa belum ditemui.

Pasukan keselamatan akan meneruskan operasi mencari mangsa terakhir, Mahdani Akim, 55, hari ini setelah operasi ditamatkan lewat petang semalam.

Difahamkan, kesukaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat adalah keadaan air sungai yang agak keruh.

Namun, perkara tersebut tidak menghalang pasukan keselamatan untuk menjalankan operasi bermula jam 7 pagi semalam dan pada jam 9.02 pagi, mereka menemui mayat mangsa kesepuluh.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Ibong Rais, 60, dijumpai di antara Teluk Gelegai dan Tanjung Bubus, kira-kira tujuh kilometer dari pusat operasi pasukan keselamatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Daro.

Setakat ini, mangsa yang telah dijumpai sejak 18 Januari ialah Sakiah Kipli, 49, Mirah Morni, 54, Melati Jeree, 58. Manakala mangsa yang dijumpai pada 19 Januari ialah Nursiah Abdullah, 44.

Hari ketiga operasi berjaya menemui lima mangsa iaitu Naibi Saibi, 53, Bolhan Berdan, 67, Kalsom Mat, 53, Riji Dalol, 64, dan Abu Bakar Mahli, 66.

Dalam kejadian 1 tengah hari Sabtu lepas, sebuah bot panjang yang membawa 27 penumpang terbalik selepas dipukul ombak besar.

Ketika kejadian bot panjang itu membawa penumpang berusia lingkungan 23 hingga 69 tahun dari Kampung Tekajong dalam perjalanan pulang ke kampung mereka selepas menghadiri majlis perkahwinan.

Enam belas orang berjaya menyelamatkan diri, tiga ditemui lemas dan lapan lagi hilang.