‘Delima Raja Urat’ berbahaya

0

Produk mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak membeli atau menggunakan produk tradisional ‘Delima Raja Urat’ kerana didapati mengandungi racun berbahaya iaitu dexamethasone.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A Rahman berkata berdasarkan label pada produk, ia diguna untuk sakit urat, sakit pinggang, lenguh sendir tulang, sakit lutut, kebas kaki tangan, gout, lemah tenaga dan letih lesu.

Namun, beliau berkata hasil ujian Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati produk itu mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

“Dexamethasone adalah agen antiradang yang poten dan biasa digunakan dalam rawatan alergi dan ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

“BPFK telah menerima dua laporan kesan advers yang melibatkan produk ‘Delima Raja Urat’ dan kesan advers yang dilaporkan ialah urticaria, vasculitic rash dan Addisonian crisis,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Eisah berkata penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

“Pesakit juga boleh mengalami ‘Cushing’s syndrome’ yang dicirikan dengan muka membulat dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil,” katanya.

Eisah menasihatkan mereka yang mempunyai stok produk itu supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.

Beliau juga menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk ‘Delima Raja Urat’ supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan daripada profesional kesihatan.

“Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga tidak munasabah dengantuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit,” katanya.

Eisah turut menasihatkan pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) agar tidak menggunakan produk tidak berdaftar sepertiitu yang berkemungkinan dicampur dengan bahan terlarang kortikosteroid kerana iaboleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal seterusnya mengakibatkan komplikasi serius.

Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7833 5400 atau melayarilaman web www.bpfk.gov.my. — Bernama