Saturday, September 19

ESSCOM laksana bancian di Sandakan 15-17 Februari

0

Bancian untuk kaji jumlah rumah, penduduk, demografi

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan melaksanakan operasi bancian di empat perkampungan air di sini selama tiga hari bermula 15 Feb depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Mentek berkata empat perkampungan tersebut adalah Mangkalinau, Cahaya Baru, Muhibbah dan Forest.

Katanya bancian dilakukan bagi mengetahui jumlah rumah, penduduk, keluarga, demografi penduduk warga-negara dan bukan warga-     negara dengan mengenal pasti jenis dokumen yang dipegang mereka.

“Operasi bancian ini dilaksanakan tidak melibatkan penguatkuasaan dan tangkapan biarpun sedang berjalan Operasi Bersepadu pada masa sekarang.

“Anggota polis dan tentera yang menyertai operasi bancian ini bertujuan memasti-kan keadaan keselamatan terkawal khususnya keselamatan pembanci,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pemimpin Masya-rakat perkampungan terlibat, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Au Kam Wah, Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan Mej Jen Datuk Mohd Noor Osman dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Awam Rahim Isyak.

Mohammad berkata dianggarkan sebanyak 160 pembanci terdiri daripada penduduk tempatan Sandakan akan terlibat dalam operasi bancian berkenaan agar dapat memudahkan komunikasi dengan penduduk di perkampungan air itu.

Menurutnya berdasarkan statistik bancian Majlis Perbandaran Sandakan di empat perkampungan air tersebut terdapat 3,164 rumah dan daripada jumlah itu 1,688 diduduki warganegara dan 1,476 diduduki bukan warganegara yang memiliki dokumen.

Katanya jumlah penduduk adalah seramai 12,501 orang dan pada masa sekarang jumlah itu dipercayai bertambah antara 20 dan 30 peratus.

Beliau turut menasihatkan penduduk di empat perkampungan air berkenaan agar  menyediakan dokumen mereka ketika proses bancian dilakukan.

Mohammad berkata kaedah operasi bancian akan ditambah baik selepas operasi pertama dilakukan di Kampung Simunul, Semporna.

Katanya Sandakan merupakan satu daripada tiga daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang dipilih sebagai projek perintis program itu selepas Semporna dan Lahad Datu.

Beliau berkata hasil maklumat bancian itu akan membantu pihaknya dan kerajaan merancang program penem-patan semula penduduk dengan lebih baik.

Kawasan ESSZONE me-rangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

ESSCOM ditubuhkan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari tahun lepas. — Bernama