SMK Sematan sekali lagi muncul juara

0

KENANGAN: Ranum (empat kanan) bersama salah satu pasukan merakamkan gambar kenangan di hadapan Astaka Ranum.

JUARA: SMK Sematan merakamkan gambar kenangan selepas dinobatkan sebagai juara.

SEMATAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan sekali lagi muncul juara Kejohanan Merentas Desa MSS Bahagian Kuching 2014.

Sebanyak 21 buah sekolah menengah dari Bahagian Kuching menyertai kejohanan itu yang berlangsung di SMK Sematan.

Kejohanan itu bertujuan mencari pelari-pelari berpotensi untuk mewakili pasukan Bahagian Kuching ke kejohanan peringkat negeri di Miri, Februari depan.

Naib juara disandang oleh SMK Tun Abdul Razak, manakala SMK Lundu sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Dalam pada itu, kategori sekolah rendah menyaksikan penguasaan pasukan daerah Lundu (PPD Lundu) apabila muncul juara keseluruhan mengalahkan pasukan PPD Bau dan PPD Kuching.

Majlis penangguhan kejohanan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata sukan merupakan kunci kecergasan fizikal dan mental dalam kalangan pelajar bagi mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pelajar supaya menitikberatkan bidang teknikal kerana pada masa kini fokus alam pekerjaan memerlukan kemahiran teknikal untuk membangunkan sesuatu tempat seperti SCORE.

Ranum turut merasmikan Astaka Ranum di sekolah itu yang digunakan untuk pelbagai aktiviti terutamanya bidang sukan.

Menurut Pengetua SMK Sematan, Nedumaran Lingappan pemilihan nama Astaka Ranum bertepatan sebagai menghargai jasa dan sumbangan Ranum kepada pendidikan anak-anak di daerah ini.

Turut hadir wakil Pegawai Pelajaran Daerah Lundu Andrew Bong, Penolong Penyelia Sukan Pejabat Pelajaran Daerah Kuching, Mohd Rasyid Ibrahim dan Yang Dipertua PIBG SMK Sematan, Selian Jister.