Luluskan segera cadangan pembinaan jalan raya di Lingga, Banting

0

RASMI: Mong (tiga kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Program Bubur Lambuk sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid Bahagia, Kampung Melayu Bakong, baru-baru ini.

SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang menyarankan agar pihak yang bertanggungjawab meluluskan segera cadangan pembinaan rangkaian jalan raya di Lingga dan Banting  di bahagian Sri Aman.

Menurutnya, penduduk rumah panjang dari Banting dan Engkerepok kini masih bergantung kepada kaedah pengangkutan sungai untuk menuju ke kawasan Pantu mahupun Lingga.

Sekiranya rangkaian jalan raya itu siap sepenuhnya kelak ia secara tidak langsung akan dapat mengurangkan lagi bebanan kenaikan tambang bot yang terpaksa ditanggung oleh penduduk setempat yang hendak berkunjung ke Lingg nanti, ujarnya

Mong berkata,  ketiadaan kemudahan jalan raya telah menyebabkan mereka terpaksa menggunakan perahu atau bot untuk mengangkut hasil tani seperti padi ke kawasan Pantu atau Lingga hingga sekarang.

“Lagipun kenaikan harga bahan api sebelum ini mungkin telah menyumbang kepada kenaikan tambang atau sewa bot bagi mengangkut hasil tani masing-masing ke kawasan Pantu atau Lingga.

“Lebih payah lagi ialah apabila mereka kemudiannya terpaksa membayar kos pengangkutan tambahan untuk menghantar hasil tani berkenaan ke Sri Aman dengan menggunakan laluan darat selepas itu,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bubur Lambuk sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid Bahagia, Kampung Melayu Bakong, baru-baru ini.

Dalam majlis itu Mong mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bahagia Kampung Melayu Bakong.

Beliau turut mengumum peruntukan sebanyak RM50,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Melayu Bakong bagi tujuan kerja menembok tanah dan membina padang futsal di kawasan itu.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan turut mencadangkan Padi Beras Nasional (BERNAS) agar menubuhkan pusat pembelian padi di Lingga bagi mengurangkan kos pengangkutan di kalangan petani nanti.

Ini penting berikutan kadar pendapatan golongan petani menurun berikutan harga jualan padi yang lembab serta kenaikan kos pengangkutan tinggi pada masa kini.

Turut hadir pada majlis itu Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, wakil RTM Sri Aman Dayang Sofea, Ketua Kampung Melayu Bakong Sajeli Ramli dan Pengerusi Masjid Bahagia Sakti Majid.