POCA 2013 akan dikuat kuasa dalam masa terdekat

0

PUTRAJAYA: Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu selepas akta berkenaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada 25 Oktober tahun lepas.

“Rang POCA 2013 sudah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 September 2013 dan dibaca kali kedua dan ketiga seterusnya diluluskan dalam Dewan Rakyat pada 2 Oktober 2013,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran ‘Putrajaya Security Dialogue’ di sini hari ini.
 Beliau berkata, antara pindaan yang diperuntukkan dalam POCA ialah ia diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, tempoh tahanan siasatan dikurangkan daripada 71 hari kepada 60 hari serta Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah diguna pakai.

Selain itu, POCA juga menguatkuasakan penggunaan alat pemantauan elektronik (EMD), penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah, perlindungan saksi, syarat pengawasan lebih ketat dan ‘sunset clause’ iaitu akta ini akan dikaji semula setiap lima tahun, katanya.

Ahmad Zahid berkata, akta itu dipinda dan diperluaskan selepas kerajaan peka dan prihatin terhadap kebimbangan rakyat dan tahap keselamatan berikutan keseriusan peningkatan kes jenayah.

“Ini termasuk kerisauan mengenai penggunaan senjata api yang berleluasa, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api, pergaduhan antara kumpulan ahli kongsi gelap untuk merebut kawasan, perebutan kawasan pengedaran dadah, mengutip wang perlindungan serta sindiket pelacuran dan perjudian,’ katanya.
Beliau berkata, akta itu juga untuk memberi kuasa semula kepada Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang serta menunjukkan ‘taring’ sebenar mereka.

Beliau juga berhasrat untuk membukukan perbahasan Rang Undang-undang POCA 2013 di Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk tatapan rakyat mengenai perkara sebenar yang berlaku di Parlimen semasa penggubalannya.

“Rang undang-undang itu hangat diperbahaskan dari jam 11.30 pagi 2 Oktober tahun lalu sehingga jam 12.50 pagi keesokan harinya dengan suara majoriti di pihak penyokong kerajaan iaitu 115 manakala 86 membangkang,” katanya.

Dialog sehari keselamatan Putrajaya itu membabitkan empat anggota panel iaitu Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Dua lagi ialah Ketua Penolong Pengarah Perundangan Bukit Aman, SAC Mazupi Abd Rahman dan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala moderator ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai. – Bernama