Usung jenazah, lantai runtuh

0

Abdul Ghani menunjuk beranda rumah yang roboh.

20 cedera termasuk empat dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent

SANDAKAN: Kira-kira 20 tetamu yang datang menziarahi jenazah di Kampung Karamunting mengalami kecederaan dan pengsan selepas lantai beranda rumah si mati runtuh ketika jenazah diusung keluar dari rumah berkenaan.

Ipar kepada si mati, Norsiah Jalil, berkata dia berada di dalam rumah dan sedang mengemas kain pelikat sebelum terdengar bunyi kuat di luar rumah seperti ada sesuatu yang terjatuh.

“Apabila bergegas keluar, saya ternampak semua tetamu terduduk dan ada tertiarap di atas tanah akibat lantai beranda rumah roboh,” katanya.

Beliau berkata, empat orang dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent dan selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, seorang mangsa Asmat Kadir, 66, berkata kejadian itu berlalu dengan pantas di mana lantai beranda rumah berkenaan terus runtuh setinggi kira-kira dua meter.

“Kira-kira 2o tetamu yang hadir berada di beranda rumah berkenaan, termasuk saya tidak dapat menyelamatkan diri dan jatuh ke bawah,” katanya.

Beliau mengalami luka-luka di kaki dan tangan akibat kejadian itu, manakala dua lagi wanita turut cedera ringan iaitu lebam di kepala dan tangan terseliuh.

“Empat warga emas yang cedera dan pengsan dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Asmat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dia bersama keluarga menghadiri acara pengkebumian jiran mereka di rumah berkenaan.

“Semasa jenayah si mati diusung keluar dari rumah berkenaan, beranda rumah tiba-tiba runtuh, menyebabkan saya bersama tetamu yang hadir jatuh ke bawah rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani Amat, 49, berkata ketika kejadian dia bersama keluarga sedang mengusung keranda jenazah arwah keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan di sini.

“Semasa saya berada di tangga rumah dan ketika sedang mengangkat keranda, beranda rumah berkenaan runtuh dan saya menahan keranda jenazah itu dari jatuh bersama,”katanya.

Beliau berkata, jenazah arwah keluarganya itu tidak terjatuh dan berjaya diangkat dengan bantuan penduduk kampung ke kereta jenazah untuk dibawah ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan.

“Tetamu yang terjatuh akibat beranda runtuh itu kemudiannya dibantu sebelum empat dari mereka dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Abdul Ghani berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Polis dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Karamunting turut datang ke tempat kejadian.