300 golongan kurang bernasib dan warga emas telah diraikan

0

BERKONGSI KECERIAAN: Fatimah menyerahkan angpau dan hamper kepada salah seorang penerima pada Program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Batu Kawa, semalam.

KUCHING: Seramai 300 golongan kurang bernasib dan warga emas yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMNS) dari sekitar Kuching diraikan dalam Program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina (TBC) semalam.

Program yang diadakan di Dewan Chung Hua, pekan Batu Kawa Lama dirasmikan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah JKMNS Abang Shamsudin Abang Seruji, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan Temenggung Lu Kim Yong.

Fatimah dalam ucapannya berkata objektif utama program itu ialah meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Ia juga katanya, diharap dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.

“Tujuan utama pemberian bantuan bulanan berserta hamper terus kepada penerima penting supaya mereka dapat meraikan Tahun Baharu Cina dengan lebih ceria dan berasa tidak dipinggirkan,” katanya.

Menurutnya program sejambak kasih merupakan program rutin JKMNS setiap kali menjelang musim perayaan utama seperti Hari Gawai, TBC, Krismas dan Hari Raya Puasa.

Sementara itu, Lu berkata program anjuran JKMNS itu amat dihargai dan yakin ia dapat membawa kegembiraan kepada golongan kurang bernasib baik lebih-lebih lagi semasa musim perayaan.

Tambahnya, penganjuran program itu membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan mana-mana kaum dan amalan tolong-menolong tanpa mengira kaum dan agama sememangnya semangat yang sangat unik di negeri ini.

“Ini adalah semangat yang benar-benar kita mahu wujud dan kekalkan dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

“Saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan latar belakang sosial,” katanya.