Ekonomi Sarawak diunjur bertambah kukuh tahun ini: Abg Johari

0

TERTARIK: Abang Johari (kanan) bersama Ahmad Maslan sempat melihat pameran pembangunan Sarawak pada majlis penutupan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) peringkat negeri Sarawak di Kuching, semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Ekonomi Sarawak pada tahun ini diunjur akan bertambah kukuh dan tumbuh pada kadar 5.0 peratus, kata Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Jelas beliau, pertumbuhan ini akan dipacu oleh permintaan domestik pada kadar 9.4 peratus dan eksport yang akan tumbuh pada kadar 9.3 peratus.

Tambahnya, prestasi ini juga akan disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 18.2 peratus selaras dengan kerancakan aktiviti ekonomi domestik dan prospek ekonomi global yang lebih baik.

“Ini akan meningkatkan perbelanjaan swasta dan awam yang diunjurkan berkembang pada kadar 9.4 peratus dan 5 peratus,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Majlis Penutupan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Ahmad Maslan dan Pengarah Unit Perancang Negeri, Jabatan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PENA Peringkat Negeri Sarawak Datu Ismawi Ismuni.

Selain itu, Abang Johari berkata dari sudut penawaran, sektor pembinaan dijangka akan tumbuh sebanyak 10.8 peratus pada tahun ini.

“Pertumbuhan ini akan disokong oleh pembangunan berterusan di kawasan SCORE yang melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta seperti pembinaan Pelabuhan Samalaju, projek-projek infrastruktur dan uti-liti serta kilang- kilang di Taman Perindustrian Samalaju, projekprojek bekalan air dan infrastruktur di Hab Halal Tanjung Manis serta Empangan Kuasa Hidroelektrik Murum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor perkhidmatan pula dijangka akan tumbuh sebanyak 5.7 peratus selaras dengan permintaan domestik yang lebih kukuh.

Sektor pembuatan pula, katanya dijangka tumbuh pada kadar 5.4 peratus disokong oleh pertumbuhan industri berasaskan sumber.

Terdahulu, Abang Johari berkata pertumbuhan ekonomi Sarawak dianggarkan tumbuh pada kadar 4.5 peratus pada tahun lepas.

Katanya pertumbuhan tersebut telah didorong oleh peningkatan dalam pelaburan awam dan swasta iaitu melalui projek-projek pembangunan di bawah pelan pembangunan SCORE serta pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).