Tujuh kes denggi di Sibu pada minggu keempat tahun ini

0

SIBU: Sejumlah tujuh kes demam denggi dilaporkan di sini pada minggu keempat tahun ini iaitu dari 19 hingga 25 Januari lalu.

Ini menjadikan jumlah kes demam denggi di Sibu bagi empat minggu pertama tahun ini sebanyak 11 kes.

Menurut kenyataan Pega­wai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Muhamad Rais Abdullah, satu lokaliti diisytiharkan sebagai wabak iaitu di Jalan Teruntum, Rejang Park pada 24 Januari lalu.

“Lokaliti tersebut diisyti­harkan sebagai kawasan wa­bak selepas mencatat tujuh kes demam denggi,” katanya sambil memberitahu masih banyak tempat yang berpo­tensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di lokaliti wabak tersebut.

Jawatankuasa Bertindak Wabak Denggi Daerah Sibu turut meminta masyarakat agar sentiasa mengambil langkah pencegahan dan kawalan.

Dr Muhamad Rais berkata, ini termasuk memusnah atau menanam bahan-bahan buan­gan yang menakung air seperti tayar, tong cat, tin kosong, botol kaca, topi keledar bu­ruk, bekas polisterin, man­gkuk mi segera, beg plastik dan sebagainya.

“Pastikan bekas-bekas yang digunakan untuk tujuan menyimpan air seperti kolah, tong, baldi, alas pasu bunga, talam peti sejuk, pelapik rak pinggang, bekas jambangan bunga, pam dan mangkuk tandas dan bekas-bekas lain tiada pembiakan nyamuk aedes.

“Bekas-bekas tersebut perlulah ditutup rapat atau dimasukkan ubat pem­bunuh jentik-jentik nyamuk (abate),” jelasnya sambil menambah orang ramai juga perlu memastikan tiada ka­wasan semak-samun di seke­liling rumah.

Di samping itu, beliau juga menyarankan agar masyarakat melakukan penyemburan ra­cun serangga (aerosol) sendiri di kediaman masing-mas­ing bagi tujuan membunuh nyamuk aedes dewasa yang berada di dalamnya.

“Jika demam, sila pergi ke kemudahan kesihatan dengan segera. Sebarang kelewatan boleh membawa maut,” ujarnya.

Beliau berharap langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat memastikan tempat tinggal bebas daripada pembiakan nyamuk aedes sekali gus menyumbang kepada penurunan penyakit demam denggi.

“Penyakit demam denggi tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh menjadi jang­kitan yang membawa maut,” katanya.