KPDNKK temui jersi tiruan skuad bola sepak Sarawak

0

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak berjaya menemui jersi skuad bola sepak Sarawak yang ditiru dalam serbuan yang dijalankan baru-baru ini.

Timbalan Pengarahnya Mohd Nor Musa berkata, berdasarkan aduan yang dibuat penjual tunggal jersi berjenama Starspots itu, pengawai penguat kuasa telah merampas jersi tersebut yang ditiru.

Menurutnya, kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kami menerima aduan daripada penjual tunggal jersi ini.

“Hasil siasatan yang kami jalankan, jersi tiruan telah dirampas,” katanya.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 beliau berkata, pihak yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakalan denda maksimum RM10,000 bagi setiap helai atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Mohd Noor menambah, anggota penguat kuasa akan ditempatkan di pekarangan stadium setiap kali perlawanan berlangsung untuk memantau dan memastikan lokasi tersebut bebas daripada penjualan jersi tiruan.

Sementara itu, jurucakap LEA Sports Centre yang merupakan peruncit barangan sukan tempatan menasihati orang ramai agar tidak tertipu dengan penjualan jersi tiruan.

Menurutnya, rampasan jersi tiruan akan dijalankan KPDNKK Sarawak dari semasa ke semasa di Stadium Negeri.

“Ketika perlawanan antara Sarawak dan Kelantan sebelum ini, rampasan jersi tiruan dilakukan,” ujarnya.