Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Pesta Bungin 2014

0

BETONG: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Pesta Bungin 2014 yang akan berlangsung selama tiga hari di tebingan Kampung Bungin, dekat sini pada 14 hingga 16 Mac depan.

Pesta yang sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat di bahagian Betong itu merupakan anjuran PBB Ranting Kampung Bungin, Komuniti Bestari Kampung Bungin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bungin, PIBG SK Bungin dan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Kampung Bungin.

Pengerusi Pesta Bungin Abang Morni Abang Ahmad berkata, penganjuran pesta itu antara lainnya bertujuan memperkenalkan Kampung Bungin seterusnya memberi peluang kepada orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat lagi.

Justeru katanya, sejajar dengan semangat 1Malaysia, Pesta Bungin diharap dapat menjadi platform untuk merapatkan masyarakat melalui pelbagai program yang diselitkan sepanjang pesta.

“Kami amat yakin Pesta Bungin dapat menjadi landasan terbaik untuk mendekatkan setiap masyarakat di bahagian ini dan sekitarnya tidak mengira kaum mahupun agama masing-masing.

“Kami berharap pesta ini mampu merapat dan mengeratkan lagi hubungan kaum dan semangat perpaduan antara kita seiring dengan slogan 1Malaysia,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo, semalam.

Jelasnya, pesta berkenaan bukan sahaja dapat menyajikan hiburan kepada penduduk setempat malah penganjurannya sudah pasti mengundang kebanjiran pengunjung bukan sahaja penduduk setempat tetapi dari daerah lain.

“Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang pesta ini berlangsung untuk disaksikan dan disertai oleh orang ramai,” jelasnya.

Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dijangka hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam.

Tambah beliau, pada masa ini pihaknya masih dalam perancangan dari setiap sudut bagi memastikan pesta ini berjalan lancar.

Antara acara yang bakal menjadi tumpuan adalah acara regata seperti lumba perahu terbuka sakai 30, 25, 15 dan 10 serta lumba pecut 30, 25, 20, 15 dan 10.

Selain itu, pertandingan bola sepak sembilan sebelah, pentas hiburan, pertandingan lagu sensasi dan kilauan emas, pertunjukan motosikal berkuasa tinggi, pameran produk serta gerai jualan turut diadakan.

“Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pesta ini nanti dan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang diatur sebagai pengisiannya,” ujarnya sambil menambah bahawa juara sakai 30 akan dinobatkan sebagai Raja Air Pesta Bungin 2014.

Jelasnya lagi, tapak pesta berkenaan yang berada di kawasan strategik iaitu di tengah kampung memudahkan orang ramai mengunjunginya.

“Justeru, orang ramai diharap dapat meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan pesta ini nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut bolehlah menghubungi Morni di talian 018-9812414, Baha Suhaili (019-4386141) dan Zam Zam (013-5687578).